SKUAD badminton lelaki negara menaiki podium acara berpasukan Sukan SEA dengan wajah muram selepas dibelasah 0-3 oleh Indonesia, sekali gus mencetuskan persoalan besar mengenai apa sebenarnya yang membuatkan pasukan itu tampil begitu lesu dan tidak bermaya. Kekalahan itu bukan sekadar tewas pada angka, tetapi tewas pada semangat, pada ‘fight’, pada karakter yang sepatutnya menjadi identiti pemain elit Malaysia.
Aksi pembukaan menyaksikan Leong Jun Hao gagal menghidupkan roh perlawanan apabila tunduk 12-21, 19-21 kepada pemain muda Indonesia, Alwi Farhan, dalam aksi yang dianggap terlalu berhati-hati dan kurang berani. Jika gementar menjadi faktor, Alwi yang muda 6 tahun berbanding Jun Hao seharusnya lebih merasai tekanan.

Leong Jun Hao gagal menyaingi Alwi Farhan.
Kekecewaan bertambah apabila gandingan beregu utama negara yang juga pasangan no.2 dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, sekadar menjadi bayang kepada reputasi juara dunia mereka, tewas 12-21, 12-21 dalam sebuah perlawanan yang langsung tidak menunjukkan DNA pejuang yang pernah mengangkat mereka ke podium dunia dan Olimpik. Dalam permainan yang memerlukan maruah pasukan dijulang, mereka pula tenggelam tanpa sebarang amaran.
Harapan terakhir Malaysia, Justin Hoh, turut tidak mampu mengubah nasib pasukan apabila rebah 12-21, 14-21 kepada Moh Zaki, pemain berusia 18 tahun yang nyata tampil dengan keberanian dan keyakinan yang jauh lebih jelas berbanding pemain negara yang sepatutnya lebih matang dan berpengalaman. Kekalahan itu menjadi noktah bahawa bukan kekuatan teknik yang hilang, tetapi sesuatu dalam jiwa dan mental pemain yang goyah.

Aksi Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak melambangkan status bekas juara dunia dan pemenang gangsa Olimpik.
Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, tampil memberikan pandangan yang cukup pedih tetapi realistik, seolah-olah mengungkap suara hati jutaan peminat. “Bukan nak kritik, kita jangka fight laa kan, tapi tak fight… ketiga-tiga game tak ada fight dari segi mata, apa alasan mereka?” katanya, menegaskan bahawa apa yang hilang bukan sekadar mata tetapi nyawa dalam setiap rally.
Rashid menambah bahawa alasan gugup atau tekanan tidak boleh dijadikan sandaran, lebih-lebih lagi apabila Indonesia menurunkan barisan muda, Alwi baru 20 tahun dan Zaki baru 18 tahun, namun kedua-duanya bermain dengan keberanian yang menyengat. “Pada saya memang kena akui preparation Indonesia lagi bagus… kita barisan bintang, tapi semangat berpasukan mereka lebih baik,” tegasnya, merujuk kepada betapa Indonesia bermain dengan kemahuan untuk menang yang jauh lebih besar.

Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek mahu barisan jurulatih “korek” apa kurangnya pemain negara.
Beliau turut menyentuh isu mendasar yang lebih besar dalam ekosistem skuad kebangsaan apabila menyatakan bahawa semua sokongan sudah lama hadir, jurulatih terbaik, program intensif, struktur lengkap, bahkan Datuk Seri Lee Chong Wei sendiri berada dalam sistem, namun prestasi pemain masih tenggelam. “Priority dah bagi lama kepada pemain… apa lagi yang tak cukup? Mentaliti? Komitmen? Humble tak humble? Coaches kena kaji,” katanya, penuh makna.
Tambah Rashid lagi, perlawanan berpasukan menuntut lebih daripada sekadar teknik individu kerana semangat, keyakinan dan solidariti sepatutnya menjadi bahan bakar utama. “Ini team event… kalau kau gentar, budak 18 tahun tu tak gentar ke? Kalau tak cukup semangat, tak cukup teamwork, buat hal masing-masing, memang jadi lemau macam ni,” katanya, menyeru BAM melihat semula DNA pasukan sebelum lebih banyak maruah negara tergadai.
Ujarnya lagi, jika negara tanpa kehadiran Lee Zii Jia, Indonesia juga tanpa Jonatan Christie dan Anthony Sinisuka Ginting.
Beliau enggan mengulas mengenai status saingan Sukan SEA yang tidak menawarkan hadiah wang tunai, namun yang menjadi persoalan, inikah barisan yang mahu mencabar Piala Thomas tahun hadapan?