JAGUH lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan kembali ke pentas Sukan SEA dengan satu misi yang jauh lebih besar daripada sekadar menebus kekecewaan, atlet berusia 22 tahun itu mahu mencipta sejarah baharu untuk Malaysia di Bangkok bulan depan.
Selepas pulang tanpa pingat pada edisi 2023, Jonah kini tampil dengan keyakinan tinggi, meletakkan sasaran bukan sahaja meraih emas, malah mahu memadam rekod temasya (18.14m milik William Morrison) serta rekod kebangsaan 18.66m yang dicatatkannya sendiri pada Kejohanan SIPMA, September lalu.
“Saya sasarkan untuk pecahkan rekod kebangsaan dan sebagai bonus, saya mahu catat lontaran 19 meter yang pertama dalam sejarah Malaysia di Sukan SEA nanti. Rekod temasya sekitar 18 meter lebih, jadi saya akan berikan yang terbaik di Bangkok,” katanya.

Jonah tidak menafikan cabaran terbesar datang daripada pemegang rekod temasya, William Morrison dari Filipina, yang merekodkan lontaran 18.81m musim ini. Namun pencapaian itu hanya menambah motivasi buatnya untuk tampil lebih garang selepas hampir menjejak podium dua tahun lalu dengan 16.27m.
Lebih menarik, Sukan SEA 2025 turut menyaksikan debut Jonah dalam acara lempar cakera langkah berani yang memperlihatkan kesungguhan atlet muda itu untuk meluaskan keupayaan di pentas antarabangsa walaupun belum pernah beraksi dua acara serentak dalam kejohanan besar.
Dengan persiapan rapi dan sasaran mencecah zon 19 meter, Jonah kini menjadi antara sandaran utama kontinjen olahraga negara dalam misi menambah kutipan emas di Bangkok dan Chonburi bermula 9 hingga 20 Disember nanti.