DENGAN hanya beberapa hari menjelang tirai pembukaan Sukan SEA Thailand 2025, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) tampil dengan keyakinan besar sasaran dua pingat dilihat realistik selepas perubahan format temasya memberi kelebihan tersendiri kepada skuad negara.
Presidennya, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata peluang Malaysia terbuka lebih luas susulan keputusan tuan rumah yang tidak membenarkan mana-mana negara menurunkan pemain naturalisasi pada edisi kali ini, sekali gus menjadikan pentas saingan lebih seimbang untuk semua pasukan.
“Ketika ini semua pemain menunjukkan semangat yang tinggi. Bila berdepan pasukan yang lebih kuat, kita masih mampu beri tentangan hebat. Tambahan pula Sukan SEA kali ini tidak membenarkan pemain naturalisasi bermain, jadi kita memang ada peluang,” katanya selepas majlis pecah tanah MABA Suitez @ KL City Centre, semalam.

Presiden Maba, Datuk Seri Lee Tian Hock
Beliau turut menegaskan skuad kebangsaan telah melalui persiapan rapi dengan siri latihan intensif serta penyertaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa di China, Taiwan dan Filipina, platform penting untuk menguji tahap kompetitif pasukan sebelum aksi sebenar bermula di Thailand bermula 9 Disember ini.
Bagi menyuntik motivasi tambahan, MABA turut menjanjikan ganjaran lumayan sekiranya skuad negara berjaya memenuhi sasaran yang ditetapkan. Malaysia sebelum ini membawa pulang satu pingat gangsa di Sukan SEA 2023 melalui acara wanita 5×5.
Thailand menawarkan empat pingat emas merangkumi acara 3×3 dan 5×5 bagi kategori lelaki dan wanita dan Malaysia percaya mereka kini berada dalam posisi terbaik untuk mencabar podium.
Dengan persiapan yang mantap, semangat pemain yang memuncak dan landskap persaingan yang lebih seimbang, misi dua pingat bukan lagi angan-angan. Kini masa untuk bola keranjang Malaysia membuktikan kemampuan sebenar di pentas Asia Tenggara.
TAMAT