HANNAH Yeoh meninggalkan legasi besar sepanjang tempoh menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dari 3 Disember 2022 hingga 16 Disember 2025 apabila pelbagai pembaharuan signifikan berjaya dilaksanakan demi kebajikan atlet negara.

Di bawah kepimpinannya, isu asas yang lama diperjuangkan atlet akhirnya diberi keutamaan, sekali gus mengubah landskap pengurusan sukan negara ke arah lebih profesional dan berperikemanusiaan.

Ketua Sekretariat Majlis Pendidikan dan Kerjaya Atlet (MACE), Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Shalin Zulkifli menyifatkan tempoh bekerjasama dengan Hannah sebagai satu pengalaman luar biasa yang membuka ruang kepada perubahan dasar yang sebelum ini hanya menjadi impian atlet.

Datuk Shalin Zulkifli berkongsi gambar ketika bersama bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menunjukkan apresiasi kerjasama antara mereka.

“Terima kasih YB Hannah Yeoh atas segala yang telah dilakukan untuk kami atlet, saya sangat bersyukur dapat mencapai begitu banyak pencapaian penting untuk kebajikan atlet sepanjang bekerjasama rapat dengan beliau,” kata Shalin menerusi kenyataannya di Instagram.

Menurut bekas atlet boling kebangsaan itu, peningkatan gaji, caruman KWSP, PERKESO, cuti bersalin dan cuti paterniti akhirnya direalisasikan selepas bertahun-tahun menjadi suara perjuangan atlet.

Beliau turut menegaskan pelaksanaan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), insentif SHAKAM bebas cukai, inisiatif Kod Sukan Selamat serta penganjuran Simposium Sukan Selamat Antarabangsa sebagai antara pencapaian dasar paling bermakna.

Ketika menjaga portfolio di KBS, Hannah Yeoh melayan setiap sukan mahupun kepentingan belia dengan layanan sama rata.

“Ini adalah perubahan dasar yang saya impikan sejak masih bergelar atlet, namun tidak pernah terbayang dapat melaksanakannya pada tahap ini, alhamdulillah mimpi menjadi kenyataan,” ujar Shalin lagi.

Shalin percaya Hannah akan terus membawa semangat kepimpinan yang sama di posisi baharunya, sambil mengakui beliau amat menghargai kepercayaan, kepekaan dan ketegasan seorang pemimpin wanita yang benar-benar mendengar suara atlet.