PEMBANGUNAN Johor Khabib Gym di Tunku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC) bukan sekadar projek pembinaan biasa, tetapi simbol lonjakan Johor ke arah melahirkan generasi belia berdisiplin serta mewujudkan hab sukan bertaraf dunia yang sejajar dengan visi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Dipetik dari RTM, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa modul latihan di pusat berkenaan akan berada pada standard tertinggi melalui kerjasama dengan pasukan Khabib yang terdiri daripada jurulatih profesional seni mempertahankan diri. Beliau yakin latihan yang dibina atas asas melahirkan juara dunia mampu mengubah landskap pembangunan atlet negeri itu.

“Kerjasama ini memberikan akses kepada teknik, disiplin dan bimbingan antarabangsa kepada atlet Johor. Dengan visi dan kepimpinan DYAM Pemangku Sultan Johor, kami yakin Johor akan terus berada di barisan hadapan inovasi sukan dan pembangunan belia di negara ini,” katanya.

Gimnasium seluas 37,000 kaki persegi itu menampilkan fasiliti bertaraf profesional termasuk gelanggang octagon, ruang pertarungan, dewan serbaguna dan kapasiti sehingga 1,000 orang — satu infrastruktur yang menjadi asas penting pembinaan atlet pelbagai disiplin.

Bekas juara dunia UFC, Khabib Nurmagomedov, yang juga Duta Sukan Johor, menyambut baik pembinaan gim tersebut dan memuji penekanan Tunku Mahkota Ismail terhadap pendidikan serta pembentukan karakter anak muda.

“Suatu hari nanti saya berharap gim ini akan melahirkan ramai anak muda yang baik, terpelajar dan kuat. Itu harapan terbesar saya dan antara sebab utama saya membuka Khabib Gym di Johor,” ujar Khabib.

Majlis pecah tanah itu disempurnakan sendiri Pemangku Sultan Johor, disertai Exco Kerajaan Negeri, Duta Sukan Johor Datuk Seri Lee Chong Wei dan lagenda sukan antarabangsa Sonny Bill Williams — satu petanda jelas bahawa Johor serius membina ekosistem sukan bertaraf global.