HASRAT beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing untuk beraksi di Terbuka Malaysia 2026 berkecai apabila terpaksa menarik diri daripada kejohanan bertaraf Super 1000 itu.

Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mengesahkan keputusan berkenaan sambil menegaskan faktor kesihatan menjadi keutamaan pasukan.

“Semalam Pei Kee memang tidak sihat dan selepas pemeriksaan doktor, dia disahkan menghidap influenza,” kata Rosman.

Perkongsian Go Pei Kee di InstaStory miliknya.

Beliau berkata keputusan menarik diri dibuat segera kerana tidak mahu mengambil risiko terhadap keadaan pemain.

“Dalam situasi begini, kami tiada pilihan lain, kesihatan pemain lebih penting daripada apa-apa keputusan kejohanan,” katanya lagi.

Rosman turut mengesahkan Pei Kee-Mei Xing sepatutnya membuka kempen pusingan pertama menentang gandingan Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam.

“Sudah tentu kami kecewa, tetapi keselamatan dan pemulihan pemain perlu diutamakan,” kata Rosman sambil mengesahkan hanya Pearly Tan-M Thinaah akan meneruskan cabaran negara.