SAAT bola sepak tempatan sering dipersoalkan soal kualiti pemain tempatan, Faisal Halim tampil dengan jawapan paling lantang di atas padang. Dua sentuhan tajam, dua jaringan bermakna, dan satu mesej jelas: anak tempatan masih punya nilai, masih mampu menjadi penentu di pentas serantau.

Kapten Selangor itu muncul wira Gergasi Merah apabila meledak dua gol pada babak kedua untuk menghadiahkan kemenangan 2-0 ke atas Cong An Hanoi FC dari Vietnam dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium MBPJ, sekali gus mengangkat Selangor ke puncak Kumpulan A.

Perlawanan tidak bermula mudah buat anak buah Kim Pan-gon. Selangor menguasai tempo sejak wisel pertama, namun ketumpulan di hadapan gawang hampir menghukum mereka apabila beberapa percubaan Chrigor Moraes dan Alvin Fortes gagal menemui sasaran, sementara Cong An Hanoi turut hampir mencuri gol sebelum rehat.

Namun, seperti sering berlaku dalam kariernya, Faisal muncul ketika pasukan memerlukannya. Pada minit ke-60, Mickey yang terkenal dengan gerak naluri tajam membaca situasi pantas melakukan susulan selepas rembatan Fortes ditepis penjaga gol lawan, memecah kebuntuan dan membakar semangat ribuan penyokong di Stadium MBPJ.

Sembilan minit kemudian, sekali lagi Faisal mengingatkan semua bahawa status pemain tempatan bukan penghalang untuk bersinar. Rembatan padu dari luar kotak penalti menewaskan Nguyen Filip buat kali kedua, satu jaringan yang bukan sahaja menutup perlawanan, malah menutup mulut mereka yang masih meragui kualiti anak tempatan.

Di bawah kendalian Kim Pan-gon, kemenangan itu menjadi yang kelima berturut-turut buat Selangor dalam semua pertandingan, satu petunjuk jelas kebangkitan Gergasi Merah bukan sekadar bergantung kepada import, tetapi disokong tulang belakang pemain tempatan yang berani memikul tanggungjawab.

Faisal Halim bukan sekadar menjaringkan gol malam itu, tetapi menghidupkan kembali naratif lama bola sepak tempatan bahawa bakat tempatan, jika diberi kepercayaan dan pentas yang betul, mampu berdiri sama tinggi dengan sesiapa sahaja.

Dan malam di MBPJ itu, Mickey bukan sahaja wira perlawanan, tetapi simbol bahawa kualiti anak tempatan masih relevan, masih bernyawa, dan masih mampu membawa Selangor melangkah jauh.