Liga Pro Saudi memberi amaran kepada Cristiano Ronaldo dengan menegaskan tiada mana-mana individu, “walaupun sebesar mana pun nama mereka”, lebih besar daripada saingan liga itu.
Penyerang berusia 41 tahun itu dijangka terlepas perlawanan kedua berturut-turut bersama Al Nassr malam ini susulan laporan dia tidak berpuas hati terhadap sokongan yang diterima kelabnya daripada kerajaan Arab Saudi berbanding pencabar utama lain.
Ronaldo, yang dilaporkan menerima bayaran 488,000 pound (RM2.6 juta) sehari, tidak beraksi ketika kemenangan Al Nassr pada Isnin dan berkemungkinan direhatkan menjelang pertemuan dengan juara musim lalu, Al Ittihad.
Difahamkan, bekas bintang Manchester United itu tidak senang hati melihat seteru utama Al Nassr, Al Hilal, berjaya mendapatkan Karim Benzema dari Al Ittihad, sedangkan Al Nassr hanya membawa masuk seorang pemain tengah muda pada jendela Januari.
Benzema pula terus mencuri tumpuan apabila meledak hatrik pada penampilan sulungnya bersama Al Hilal dalam kemenangan 6-0 ke atas Al Akhdoud.
Bagaimanapun, jurucakap Liga Pro Saudi menolak dakwaan berkenaan dan menegaskan setiap kelab beroperasi secara bebas di bawah kerangka sama.
“Liga Pro Saudi disusun berasaskan prinsip mudah: setiap kelab beroperasi secara bebas di bawah peraturan yang sama.
“Setiap kelab mempunyai lembaga pengarah, barisan eksekutif dan kepimpinan bola sepak sendiri. Keputusan mengenai perekrutan, perbelanjaan dan strategi terletak di tangan kelab masing-masing, dalam rangka kewangan yang memastikan kemampanan dan keseimbangan persaingan. Rangka itu terpakai sama rata di seluruh liga.
“Cristiano sudah terlibat sepenuhnya bersama Al Nassr sejak ketibaannya dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan serta aspirasi kelab.
“Seperti mana-mana pesaing elit, dia mahu menang. Namun tiada individu – walaupun signifikan – menentukan keputusan melangkaui kelab masing-masing,” kata jurucakap itu.
Jurucakap sama menambah, aktiviti perpindahan terkini jelas menunjukkan kebebasan berkenaan, dengan setiap kelab membuat keputusan tersendiri dalam parameter kewangan yang diluluskan.
“Keghairahan persaingan liga jelas terserlah. Dengan perbezaan mata yang kecil antara empat teratas, perebutan kejuaraan masih terbuka. Keseimbangan ini mencerminkan sistem yang berfungsi seperti dirancang,” katanya.
Seorang pegawai kanan Arab Saudi turut menegaskan sokongan terhadap Ronaldo masih utuh dan peminat mahu melihatnya kembali beraksi secepat mungkin.
Di sebalik perkembangan itu, masa depan Ronaldo di Arab Saudi mula menjadi persoalan.
Dia masih mempunyai baki kontrak 18 bulan yang merangkumi klausa pelepasan 43 juta pound (RM232.9 juta), namun persoalan sama ada terdapat kelab yang sanggup membayar nilai itu untuk pemain berusia 41 tahun kekal menjadi tanda tanya. – AGENSI