PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia disaran untuk diturunkan seawal mungkin pada saingan Piala Thomas di Denmark bagi mengembalikan sentuhan kompetitifnya.

Jurulatihnya, Liew Daren berkata, pemain berusia 28 tahun itu perlu mendapatkan semula ‘rasa perlawanan’ selepas kurang menyertai kejohanan sebelum ini.

“Saya mahu dia bermain kerana dia kurang menyertai kejohanan sebelum ini dan perlu mendapatkan semula ‘tournament feeling’,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Bagaimanapun, Daren menjelaskan keputusan sama ada Zii Jia akan diturunkan awal masih bergantung kepada perbincangan bersama barisan kejurulatihan lain menjelang aksi di Denmark.

Mengulas perkembangan semasa, beliau memaklumkan keadaan pemain itu semakin baik dengan peningkatan jelas dari segi intensiti latihan sejak minggu lalu.

Katanya, tahap kecergasan Zii Jia kini berada sekitar 70 hingga 80 peratus dan dijangka mencapai tahap optimum menjelang kejohanan.

“Belum 100 peratus, tetapi kita akan terus meningkatkan intensiti latihan minggu ini bagi memastikan dia mencapai tahap terbaik di Denmark,” katanya.

Daren turut mengesahkan kecederaan buku lali dan tendon Achilles yang dialami pemain itu kini tidak lagi menjadi halangan apabila Zii Jia sudah kembali menjalani latihan penuh.

“Sekarang dia sudah menjalani latihan penuh dan semua pergerakan kaki dapat dilakukan seperti biasa,” katanya.

Pada kempen Piala Thomas kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland, dengan aksi pembukaan menentang England diikuti Finland sebelum berdepan Jepun.

Sumber Gambar: Harian Metro