England’s forward #09 Harry Kane celebrates after scoring his team’s second goal during the 2026 World Cup Group L football match between England and Croatia at the Dallas Stadium in Arlington on June 17, 2026. (Photo by Paul ELLIS / AFP)
Thomas Tuchel memuji karakter dipamerkan pemain England selepas bangkit dengan persembahan lebih meyakinkan pada babak kedua untuk menewaskan Croatia 4-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan L Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Pengendali The Three Lions itu mengakui pasukannya berdepan kesukaran sepanjang separuh masa pertama apabila gagal menampilkan corak permainan sebenar meskipun dua kali mendahului perlawanan.
Harry Kane meletakkan England di depan menerusi sepakan penalti sebelum Martin Baturina menyamakan kedudukan buat Croatia. Kane kemudian sekali lagi mengembalikan kelebihan England, namun Petar Musa memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 ketika menuju waktu rehat.
Bagaimanapun, England tampil lebih agresif dan tersusun selepas separuh masa dengan Jude Bellingham serta Marcus Rashford menjaringkan gol untuk memastikan tiga mata menjadi milik mereka.
“Saya suka keseluruhan aksi separuh masa kedua.
“Saya suka reaksi pemain selepas separuh masa pertama yang sangat rumit menentang lawan yang berkualiti,” kata Tuchel.
Menurut jurulatih dari Jerman itu, pemainnya kelihatan sedikit tertekan dan terlalu berhati-hati dalam membuat keputusan pada awal permainan sehingga gagal mengawal rentak seperti yang dirancang.
“Saya fikir kami sedikit gugup, mungkin terlalu mahu melakukan yang terbaik, tetapi kami terlalu banyak berfikir dalam membuat keputusan dan mengambil masa terlalu lama untuk bertindak.
“Kami menghabiskan terlalu banyak masa di kawasan sendiri, yang mana bukan identiti kami dan bukan apa yang kami mahukan,” katanya.
Tuchel turut mengakui England seakan-akan cuba mempertahankan kelebihan yang dimiliki berbanding terus menekan lawan, sekali gus membuka ruang kepada Croatia untuk kembali ke dalam perlawanan.
Namun beliau gembira melihat perubahan yang ditunjukkan anak buahnya selepas rehat apabila berjaya menguasai permainan dan memanfaatkan peluang yang terhasil.
“Saya merasakan pemain seperti mahu mempertahankan sesuatu dan kami dihukum kerana perkara itu.
“Bagi aspek psikologi, ia bukan mudah. Namun, saya sangat suka reaksi selepas waktu rehat,” katanya.
Walaupun meraih kemenangan selesa, Tuchel percaya masih banyak aspek yang perlu diperbaiki jika England mahu melangkah jauh dalam kejohanan kali ini.
“Masih ada perkara yang perlu diperbaiki. Saya rasa itu perkara biasa.
“Selepas perlawanan pertama, dalam satu kejohanan anda perlu berkembang.
“Kami mendapat undian yang sukar dalam kejohanan ini, jadi perkara positif adalah apa yang akan kami fokus sekarang dan menikmati kemenangan ini,” katanya.
Kemenangan itu memberikan permulaan positif buat England yang kini berada dalam kedudukan baik untuk memburu slot ke pusingan kalah mati.