Photo by ALFREDO ESTRELLA / AFP
HARAPAN Uzbekistan untuk memulakan debut Piala Dunia dengan langkah kanan musnah selepas tewas ditangan Colombia 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan K awal pagi tadi.
Walaupun turun sebagai debutan dan bukan pilihan dalam perlawanan ini, Uzbekistan tidak gentar menyerang dan bertahan menentang pasukan Colombia yang berada di tangga ke-11 dunia itu.
Colombia yang bermula dengan lebih agresif berjaya membuka jaringan menerusi Daniel Munoz pada minit ke-40 hasil hantaran cantik daripada Luis Diaz.
Namun, Abbosbek Fayzullaev mencipta detik bersejarah apabila menempah nama sebagai penjaring gol pertama Uzbekistan di pentas Piala Dunia selepas menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-60.
Momen manis itu tidak bertahan lama apabila Luis Díaz kembali meletakkan Colombia di hadapan lima minit kemudian, hasil daripada tekanan tinggi yang memaksa pertahanan Uzbekistan melakukan kesilapan di kawasan sendiri.
Ketika perlawanan menghampiri wisel penamat, Jaminton Campaz menambah luka Uzbekistan selepas berjaya memanfaatkan hantaran lintang Cucho Hernandez pada minit-minit akhir sekaligus mengesahkan kemenangan 3-1 buat skuad kendalian Néstor Lorenzo.
Walaupun tewas, skuad kendalian Fabio Cannavaro itu tetap mencatat sejarah penting apabila menjaringkan gol pertama mereka di pentas Piala Dunia dalam penampilan sulung.
Manakala Colombia membuka kempen Kumpulan K dengan tiga mata penuh dan prestasi meyakinkan bagi menentang DR Congo dalam perlawanan kumpulan yang seterusnya.