PENANTIAN peminat bola sepak tempatan bakal berakhir apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Chelsea FC turun buat pertama kali dalam sejarah dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad ini.
Pertemuan yang menghimpunkan juara paling dominan Liga Malaysia dan antara kelab paling berjaya di England itu dijangka menjadi tumpuan penyokong dari dalam serta luar negara, selain menjadi penutup jelajah pramusim Asia-Pasifik (APAC) Chelsea sebelum mereka memulakan kempen Liga Perdana Inggeris 2026/27.
Chelsea hadir ke Johor selepas mengharungi beberapa aksi pramusim berprofil tinggi, termasuk menentang Juventus di Hong Kong dan dijadualkan bertemu AC Milan di Jakarta sebelum melengkapkan jelajah mereka menentang JDT. Walaupun berstatus aksi pramusim, kedua-dua pasukan dijangka menampilkan aksi kompetitif sebagai persiapan menghadapi musim baharu.
Ketua jurulatih Chelsea, Xabi Alonso, mengakui teruja untuk beraksi di Johor sambil menghargai sokongan luar biasa yang diterima kelab itu di seluruh dunia.
“Perkara yang paling menggembirakan ialah ke mana sahaja kami pergi di seluruh dunia, kami sentiasa menerima sokongan daripada para penyokong. Mereka sanggup berusaha untuk datang menyaksikan kami beraksi. Saya mengenali beberapa individu daripada Johor Darul Ta’zim, termasuk Luis Garcia, dan kami tidak sabar untuk beraksi di Johor.”
Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz melihat perlawanan tersebut sebagai peluang terbaik buat skuad Harimau Selatan menguji kemampuan berdepan lawan bertaraf dunia selain terus mengangkat nama kelab di pentas antarabangsa.
“Berdepan kelab seperti Chelsea merupakan peluang yang amat baik untuk pemain-pemain dan kelab kami, bukan sahaja dari sudut bola sepak tetapi juga dalam memperluaskan jenama JDT. Kami amat menghormati segala pencapaian mereka, namun kami akan menghadapi perlawanan ini dengan penuh keyakinan dan cita-cita untuk mempamerkan aksi terbaik. Beraksi dalam perlawanan pramusim di hadapan penyokong sendiri menjadikan kesempatan ini lebih istimewa.”
Selain menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua kelab, aksi itu turut menemukan dua pengendali dari Sepanyol, Xabi Alonso dan Xisco Muñoz, yang masing-masing akan menggunakan perlawanan tersebut untuk memperkemaskan persiapan pasukan menjelang musim baharu.
Pengarah Urusan TEG Sport, Rachael Carroll berkata pemilihan Malaysia sebagai destinasi terakhir jelajah APAC Chelsea membuktikan kemampuan negara menganjurkan acara bola sepak bertaraf antarabangsa.
“Jelajah APAC Chelsea telah membawa aksi bola sepak bertaraf tinggi kepada para penyokong di seluruh rantau ini, dan kami berbesar hati kerana Malaysia dipilih sebagai destinasi terakhir jelajah tersebut. Menemukan Chelsea FC dan Johor Darul Ta’zim buat pertama kali merupakan satu detik istimewa buat peminat bola sepak, dan kami tidak sabar untuk mengalu-alukan para penyokong ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menikmati satu malam yang pasti akan dikenang.”
Perlawanan Chelsea menentang JDT akan berlangsung pada jam 8 malam, Ahad, 9 Ogos di Stadium Sultan Ibrahim, dengan ribuan penyokong dijangka memenuhi stadium bagi menyaksikan aksi bersejarah itu.