Kredit Gambar: MFL
Penyerang Selangor FC, Faisal Halim akhirnya menamatkan penantian apabila dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik Liga M Awards 2025-2026, sekali gus meraih trofi individu pertamanya pada pentas berkenaan.
Pengiktirafan itu cukup bermakna buat pemain berusia 28 tahun tersebut selepas empat kali tercalon sebelum ini, iaitu pada edisi 2020, 2021, 2022 dan 2023.
Kejayaan Faisal turut disokong prestasi cemerlangnya sepanjang musim lalu apabila berjaya menghasilkan 17 gol secara keseluruhan, selain mencerminkan kebangkitan penting dalam kariernya selepas melalui tempoh yang mencabar.
Mengakui trofi berkenaan mempunyai nilai sentimental tersendiri, Faisal menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil daripada kerja keras yang dilakukannya untuk kembali ke tahap terbaik.
“Trofi yang cukup bermakna terutamanya selepas musim yang mencabar untuk saya bangkit hingga ke tahap ini.
“Ia bukan mudah, tapi saya cuba sedaya upaya, bekerja keras untuk tolong pasukan dan Alhamdulillah atas kejayaan trofi malam ini.
“Kejayaan ini sudah tentu untuk semua penyokong Selangor dan keluarga saya,” katanya.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Quentin Cheng, turut mencipta detik tersendiri apabila dinobatkan sebagai Pertahanan Terbaik buat kali pertama.
Kemenangan itu menamatkan penantian Cheng selepas tiga kali tercalon sebelum ini sejak edisi 2021, sekali gus melengkapkan malam gemilang Selangor FC dalam majlis anugerah yang mengiktiraf kecemerlangan pemain sepanjang musim 2025-2026.
Kejayaan Faisal dan Cheng turut memperlihatkan sumbangan penting pemain Selangor FC dalam saingan Liga Malaysia musim lalu, apabila kedua-duanya akhirnya berjaya membawa pulang pengiktirafan individu selepas beberapa kali berada dalam senarai calon.