HARGA hak siaran FIFA ASEAN Cup 2026 di Thailand dilaporkan diturunkan daripada AS$3 juta (RM12.27 juta) kepada sekitar AS$2.6 juta (RM10.63 juta), namun perkembangan itu masih belum menarik mana-mana penyiar tempatan untuk mendapatkan hak berkenaan.
Menurut laporan wartawan Thailand, Jay Worrapath, pengurangan sekitar AS$400,000 (RM1.63 juta) itu dibuat ketika rundingan hak siaran kejohanan berkenaan masih berlangsung, dengan nilai asal dikatakan menjadi antara faktor yang menyukarkan persetujuan.
Situasi sama turut berlaku di beberapa buah negara ASEAN lain. Portal-portal ASEAN sebelum ini melaporkan ketiadaan penyiar yang mengesahkan hak siaran di Vietnam, dengan media tempatan menyifatkan harga sekitar AS$3 juta sebagai terlalu tinggi dan mencetuskan cabaran untuk mendapatkan pulangan komersial.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan terhadap nilai komersial kejohanan berkenaan, terutama apabila penyiar di rantau ini perlu membuat pertimbangan kewangan selepas membelanjakan sejumlah besar wang untuk mendapatkan hak siaran Piala Dunia FIFA 2026.
Piala Dunia 2026 sendiri menyaksikan hak siaran berjaya dijual di sebahagian besar pasaran Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina dan Vietnam.
Bagi Thailand, kos mendapatkan hak Piala Dunia 2026 dilaporkan jauh lebih tinggi. Media tempatan sebelum ini melaporkan FIFA meminta sekitar AS$40 juta (RM163.56 juta) untuk pasaran Thailand, berbanding kira-kira AS$15 juta yang dibayar Vietnam.
Keadaan itu bermakna sebahagian penyiar ASEAN kini perlu mengambil kira komitmen kewangan yang baru sahaja dikeluarkan untuk Piala Dunia 2026 sebelum membuat pelaburan baharu bagi hak siaran FIFA ASEAN Cup.
Dalam masa sama, harga hak siaran FIFA ASEAN Cup yang dilaporkan mencecah jutaan dolar Amerika menjadi satu lagi pertimbangan kepada penyiar kerana mereka perlu menilai saiz pasaran, jumlah perlawanan serta potensi pulangan iklan sebelum membuat keputusan.
FIFA ASEAN Cup 2026 dijadualkan berlangsung dari 24 September hingga 3 Oktober 2026, dengan Divisyen 1 di Indonesia dan Divisyen 2 di Hong Kong. Malaysia berada dalam Kumpulan A Divisyen 1 bersama tuan rumah Indonesia dan Singapura.
