Kredit Gambar: FIH
Penjaga gol The Speedy Tigers, Muhammad Zaimi Mat Deris layak diberi pujian kerana menampilkan aksi cemerlang menentang Jerman dalam aksi Piala Dunia 2026 di Arena Hoki Belfius semalam.
Meskipun tewas 1-5 kepada juara bertahan dalam aksi pertama Kumpulan B, namun Zaimi berjaya menyelamatkan gawang dalam banyak situasi sehingga mendapat pujian ketua jurulatih Speedy Tigers, Brendon Carolan.
“Zaimi telah menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin. Dia telah berlatih dengan sangat gigih dan prestasinya hari ini adalah sesuatu yang membanggakan.
“Ini adalah petanda positif untuk masa depan hoki Malaysia mempunyai penjaga gol muda yang mampu beraksi di tahap tertinggi,” kata Carolan.
Menariknya, ini adalah penampilan pertama Zaimi di pentas Piala Dunia selepas tidak disenaraikan dalam dua edisi terdahulu pada 2018 dan 2023.
Bagi Zaimi, dia mengakui agak gementar pada permulaan separuh masa pertama sebelum dapat menangani perasaan itu dengan persembahan yang lebih kemas di suku ketiga dan keempat.
“Ini adalah Piala Dunia yang pertama buat saya dan saya berikan 100 peratus buat pasukan. Saya percaya kemampuan sendiri untuk cuba mempertahankan gawang pasukan,” jelasnya.
Jerman, pasukan di ranking ke-5 dunia menjaringkan tiga gol awal dalam suku pertama menerusi Jakob Brilla pada minit keempat, Christopher Ruhr (m-5) dan Justus Weigand (m-8) menjadi antara faktor kekalahan skuad negara.
Speedy Tigers berjaya meraih satu gol daripada Azrai Aizad Abu Kamal (m40), namun Jerman menambah dua lagi jaringan menerusi Justus Warweg dan Paul-Philipp Kaufmann pada minit ke-45 serta 53.
“Keputusan hari ini (semalam) bukanlah seperti dimahukan. Namun, semakin kerap kami bermain dengan pasukan lima teratas dunia, semakin baik prestasi kami nanti,” tambah Carolan.
Perlawanan semalam juga menyaksikan dua pemain negara, Norsyafiq Sumantri dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan membuat penampilan antarabangsa ke-150 bersama Speedy Tigers.
Malaysia akan meneruskan perlawanan kedua menentang Perancis pada 17 Ogos ini sebelum melengkapkan saingan Kumpulan B bertemu Belgium tiga hari kemudian.