Tirai undian Piala FA 2026-2027 sudah berlabuh menyaksikan 16 pasukan kini bersedia mengatur langkah bagi memburu tiket ke pentas suku akhir.

Empat pasukan Liga A1 Semi Pro bakal menambah warna dalam saingan Piala FA edisi ke-36 ini apabila Kedah FA, Perak FA, UM Damansara United dan Kelantan City FC tampil mencabar 12 pasukan Liga Super.

Perlawanan pusingan 16 musim 2026-2027 bakal bermula September depan yang akan dimainkan secara timbal balik diikuti suku akhir dan separuh akhir.

Sebanyak 8 pasukan yang layak secara automatik ke pusingan 16 berdasarkan kedudukan 1 hingga 8 Liga Super 2025-2026 iaitu JDT, Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC dan Penang FC selaku pasukan ‘seeded’ yang akan memulakan aksi selaku pasukan pelawat.

Manakala 3 pasukan terbawah Liga Super 2025-2026 iaitu Sabah FC, DPMM FC, Melaka FC diikuti pasukan terbaharu musim ini, Kelantan Red Warrior FC serta 4 kelab Liga A1 Semi Pro akan bermula sebagai pasukan tuan rumah di aksi pusingan 16 ini.

Safiq Rahim yang pernah menjulang trofi Piala FA sebanyak 4 kali ketika bersama JDT iaitu pada musim 2016, 2022, 2023 dan 2024-2025 bersama-sama pemain Malayan Tigres, Intan Serah menyempurnakan majlis cabutan undian tersebut menyaksikan beberapa pertembungan menarik bakal berlaku.

Antara yang mencuri tumpuan sudah tentu pertembungan antara Sabah FC dan Selangor FC seawal pusingan 16 apabila dua pasukan ini pernah berentap di pentas separuh akhir musim lalu menyaksikan kelab Negeri Di Bawah Bayu itu berjaya menewaskan anak buah Kim Pan Gon menerusi penentuan sepakan penalti sekaligus mara ke pentas akhir.

Justeru, pertembungan kali ini pastinya kembali menghidupkan memori dramatik tersebut, apatah lagi kedua-dua kelab memiliki reputasi sebagai antara pencabar utama dalam saingan Piala FA.

DPMM FC pula yang bakal berentap buat kali kedua di kejohanan ini akan bertemu pasukan Terengganu FC selaku juara dua kali Piala FA.

Kedua-dua pasukan pastinya membawa misi berbeza untuk memperbaiki pencapaian lepas apabila DPMM FC tersingkir di pusingan 16, manakala misi Terengganu FC pula terhenti di suku akhir selepas masing-masing tewas kepada lawan sama iaitu Kuching City FC pada edisi lalu.

Selain DPMM FC, Melaka FC yang juga akan melakukan penampilan kedua di pentas Piala FA musim ini dilihat bakal menjanjikan pertembungan menarik apabila diundi menentang Penang FC, mengulangi skrip sama pada edisi lalu apabila skuad Harimau Kumbang itu telah menewaskan Melaka FC dengan kemenangan 5-0 untuk mara ke suku akhir.

Sama juga dengan juara bertahan, JDT apabila akan berdepan UM-Damansara United sekali lagi di pusingan 16, sepertimana musim lalu menyaksikan Harimau Selatan menyingkirkan wakil Liga A1 Semi Pro itu dengan kemenangan agregat 10-3.

Tiga lagi kelab dari Liga A1 Semi Pro iaitu Kedah FA pula akan menentang Star City FC, Perak FA akan bertemu Kuala Lumpur City FC manakala Kelantan City FC pula akan menerima kunjungan Negeri Sembilan FC.

Kelab yang baru dipromosi ke Liga Super musim ini, Kelantan Red Warrior FC pula dijangka akan berdepan saingan hebat apabila bakal menerima kunjungan skuad Aidil Sharin Sahak (Kuching City FC) yang tampil dengan reputasi antara kelab terbaik selaku naib juara Liga Super musim lalu.

Setelah 35 edisi Piala FA dijalankan, skuad JDT yang meraih juara musim lalu berkongsi gelaran pemenang terbanyak Piala FA sebanyak lima kali bersama-sama Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC sebelum ini.

Perlawanan pusingan 16 Piala FA 2026-2027 akan bermula pada September 2026 dengan aksi final akan berlangsung pada Januari 2027.