Isu berkaitan pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said menjadi antara perkara yang mencuri tumpuan pada Kongres Luar Biasa (EGM) badan induk itu hari ini.

Perkara tersebut dibangkitkan selepas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengemukakan surat bantahan kepada Setiausaha Agung FAM pada 8 September lalu, selain menghantar salinan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John yang mempengerusikan majlis kemudian menjelaskan kedudukan isu berkenaan kepada perwakilan yang hadir.

Menurut Windsor, EGM masih boleh diteruskan walaupun wujud bantahan, manakala mana-mana perwakilan yang tidak berpuas hati mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan mengikut saluran ditetapkan.

Perwakilan dari Perak, Selangor dan Kuching City bagaimanapun mahu isu tersebut direkodkan dalam minit mesyuarat. Cadangan itu tidak diteruskan selepas Windsor menjelaskan terdapat keperluan untuk pindaan terhadap statut serta peraturan FAM terlebih dahulu.

Dalam masa sama, Windsor memaklumkan proses pemilihan kepimpinan FAM tetap boleh dijalankan pada hari ini meskipun persoalan mengenai pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan timbul.

Pertikaian berkenaan berkait dengan Kod Pemilihan FAM 2026, khususnya Klausa 5 yang menetapkan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan perlu mempunyai kelayakan untuk menjalankan amalan guaman.

Berdasarkan maklumat akademik rasmi Abdullah di UiTM, beliau mempunyai latar belakang dalam bidang Alam Sekitar serta Perancangan Bandar dan Wilayah. Rekod tersebut menyenaraikan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Alam Sekitar, Sarjana Perancangan Bandar dari University of Wales serta PhD dalam Perancangan Bandar dan Wilayah.

Kedudukan Abdullah dalam jawatankuasa berkenaan penting kerana badan itu menguruskan proses pemilihan barisan Exco FAM, termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan anggota Jawatankuasa Eksekutif. Sebelum ini, Abdullah memaklumkan kesemua pencalonan bagi baki penggal 2025 hingga 2029 telah disemak dan disahkan berdasarkan Statut FAM serta peraturan pemilihan yang ditetapkan.