Kredit Gambar: MSN Malaysia

Sharul Aimy Kamaru Hisam semakin hampir untuk sekali lagi menjejak podium Sukan Asia apabila gimnas negara itu berjaya menempah tempat ke final acara melombol lelaki, hari ini.

Dengan catatan 13.833 mata, Sharul mengakhiri pusingan kelayakan di tempat kelima daripada lapan gimnas terbaik yang mara ke peringkat penentuan di Gimnasium Am Bandaraya Nagoya.

Kedudukan itu hadir selepas Sharul mencatat 13.800 mata pada percubaan pertama sebelum memperkemaskan aksinya untuk memperoleh 13.866 mata pada percubaan kedua.

Ng Ka Ki dari Hong Kong muncul sebagai gimnas terbaik dalam kelayakan dengan 14.166 mata, diikuti Kim Jae Ho dari Korea Selatan (14.149), Mahdi Olfati dari Iran (14.083) dan Juanco Miguel Besana dari Filipina (13.933).

Sharul sebelum ini mencipta nama di Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila meraih pingat gangsa dalam acara yang sama.

Bagaimanapun, cabaran kali ini lebih besar apabila juara Olimpik dua kali, Carlos Yulo turut berada dalam kelompok final selepas menamatkan kelayakan di tempat ketujuh dengan 13.649 mata.

Kemaraan Sharul ke final juga cukup bermakna selepas dia terpaksa mengharungi persiapan dalam keadaan berdepan kecederaan bahu kiri serta koyak meniskus pada lutut kirinya.

Kini, gimnas negara itu hanya perlu melakukan satu lagi persembahan terbaik dalam usaha menambah koleksi pingatnya di Sukan Asia.

Final acara melombol lelaki dijadual berlangsung pada Jumaat ini.