Kredit Gambar: AHF
Speedy Tigers terus mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan B hoki lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas membelasah Thailand 10-0 dalam aksi di Gifu, hari ini.
Kemenangan besar itu menyaksikan Malaysia mengekalkan rekod sempurna dengan tiga kemenangan berturut-turut, selain sudah menghasilkan 24 gol tanpa bolos sepanjang kempen peringkat kumpulan.
Malaysia sebelum ini membuka saingan dengan kemenangan 7-0 ke atas Uzbekistan sebelum mengulangi keputusan sama ketika menewaskan Oman.
Dalam aksi menentang Thailand, Faizal Saari muncul antara watak penting apabila meledak dua gol pada minit ke-18 dan ke-35, manakala Muhajir Abdu Rauf turut mencatat nama pada minit ke-20.
Azral Aizad Abu Kamal kemudian menambah dua lagi jaringan pada minit ke-21 dan ke-41, sementara Aminuddin Zain (28’), Ashran Hamsani (35’), Shello Silverius (55’), Faiz Helmi Jali (59’) dan Akhimullah Anuar Esook (60’) melengkapkan kemenangan bergaya itu.
Bagaimanapun, ujian sebenar buat skuad kendalian Brendon Carolan hadir Sabtu ini apabila Malaysia bakal berdepan Pakistan, pasukan yang berada di ranking ke-12 dunia berbanding Malaysia di tangga ke-15.
Malaysia tidak menewaskan Pakistan sejak kejayaan 3-1 pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2023 di Chennai, sekali gus pertemuan kali ini dijangka menjadi ujian lebih mencabar buat Speedy Tigers.
Carolan melihat tiga kemenangan meyakinkan itu sebagai suntikan keyakinan buat anak buahnya, namun menegaskan fokus kini beralih kepada usaha mengutip kemenangan dalam baki dua perlawanan bagi memastikan Malaysia menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.
“Kami mempunyai dua hari untuk melakukan pemulihan sebelum berdepan Pakistan. Tiga kemenangan meyakinkan ini memberikan keyakinan kepada pemain,” katanya.
Menurutnya, pasukan juga sudah menguji beberapa pendekatan taktikal dalam tiga perlawanan awal sebagai persediaan menghadapi Pakistan dan China, yang menjadi lawan terakhir Malaysia pada Isnin.
“Kami semakin baik dan berada dalam keadaan yang baik. Kami mempunyai unit serangan yang bagus, tetapi perlu lebih berkesan dalam memanfaatkan peluang menerusi pukulan sudut penalti.
“Pada masa sama, kami juga perlu menunjukkan kualiti bertahan yang lebih baik ketika berdepan pukulan sudut penalti,” katanya.