TIMBALAN Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Dr. Shamala Subramaniam meletakkan sasaran empat pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2022 Kemboja.

“Saya rasa berita yang paling baik sukan hoki telah dimasukkan kembali dalam senarai acara Sukan SEA. Majlis Sukan Negara (MSN) memberi sokongan untuk kita mendapat empat pingat emas di Kemboja.

“Kita ada lima skuad iaitu skuad podium lelaki dan wanita, skuad junior lelaki, hoki tertutup lelaki dan wanita, jadi berita baik, mereka akan dimasukkan dalam program untuk Sukan SEA di Kemboja,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang dana yang diminta KHM kepada Kementerian Kewangan, beliau menjelaskan mereka masih menunggu maklum balas memandangkan ia masih dalam proses rundingan.

“Kami dalam proses, dalam perbincangan untuk mendapat maklum balas, saya pasti ia dalam proses yang baik,” ujarnya kepada media.

Dana tersebut dikatakan mungkin akan digunakan untuk pemain hoki kebangsaan menimba lebih ilmu dan pengalaman bermain di Liga Eropah.

Bagaimanapun, skuad hoki kebangsaan akan memberi tumpuan terlebih dahulu kepada Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Ipoh pada 15-25 November,  Nations Cup 2022 di Afrika Selatan pada 28 November hingga 4 Disember dan  Piala Dunia 2022 di India bermula 13-29 Januari 2023.