Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mengakui aksi pembukaan menentang Bangladesh bukan tugas mudah, namun menegaskan skuad negara sudah bersedia untuk membuka kempen FIFA ASEAN Cup 2026 dengan keputusan positif.
Malaysia bakal berdepan Bangladesh dalam aksi pertama Kumpulan A esok, dengan Tan melihat perlawanan pembukaan sebagai ujian penting buat pasukannya dalam edisi sulung kejohanan berkenaan.
Menurut Tan, kesemua 23 pemain yang disenaraikan kini berada dalam keadaan bersedia untuk diturunkan selepas beberapa perubahan terpaksa dilakukan pada saat-saat akhir sebelum senarai akhir dimuktamadkan.
“Kami sangat gembira berada di sini dan menyertai edisi pertama FIFA ASEAN Cup. Kami juga sangat teruja untuk mengambil bahagian dalam kejohanan ini dan berharap dapat memberikan aksi yang baik.
“Kesemua 23 pemain tersedia untuk perlawanan esok. Kami sangat gembira kerana akhirnya dapat bersama sebagai satu pasukan dan semua pemain sudah bersedia,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.
Tan turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah kemampuan Bangladesh yang disifatkannya hadir dengan persiapan baik menjelang pertemuan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
“Kami perlu menghormati Bangladesh. Mereka datang dengan persiapan yang baik dan kami mahu mendapatkan keputusan positif esok. Kami tahu perlawanan pertama dalam mana-mana kejohanan sentiasa sukar, tetapi kami sudah bersedia,” katanya.
Tan turut mengakui sasaran mencapai final yang disuarakan Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi satu cabaran buat Harimau Malaya, namun beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada satu perlawanan pada satu masa.
“Kami melihatnya sebagai satu cabaran. Namun, fokus kami adalah perlawanan pertama kerana dalam mana-mana pertandingan, aksi pembukaan sentiasa sukar. Setiap perlawanan penting dan setiap mata juga penting,” katanya.
Malaysia selepas Bangladesh dijadualkan bertemu Indonesia pada 28 September sebelum menentang Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A pada 1 Oktober. Tan bagaimanapun menegaskan perhatian pasukannya ketika ini sepenuhnya terarah kepada aksi pembukaan.