Riley Pickrell muncul sebagai pelumba terpantas di penghujung perlumbaan apabila melakukan serangan penting sekitar 400 meter sebelum garisan penamat untuk memenangi Peringkat 6 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, hari ini.
Pelumba Modern Adventure Pro Cycling itu mencatat masa 2 jam 40 minit 6 saat bagi menamatkan laluan sejauh 121.3 kilometer dari Pandan Indah ke Rembau.
Matteo Malucelli daripada XDS Astana terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas turut mencatat masa sama, manakala Seppe Van den Boer dari Tudor Pro Cycling melengkapkan podium.
Rory Townsend (Unibet Rose Rockets) dan Christian Rees (Team Picnic PostNL) masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima untuk melengkapkan kelompok lima terbaik.
Dalam persaingan keseluruhan, Lennart Jasch daripada Tudor Pro Cycling terus mengukuhkan kedudukan di puncak selepas enam peringkat dengan catatan 21 jam 38 minit 39 saat.
Jan Castellon dari Caja Rural-Seguros RGA berada di tempat kedua, ketinggalan 42 saat, manakala Jose Manuel Diaz (Burgos Burpellet BH) menghuni tempat ketiga dengan jurang 1 minit 20 saat.
Jasch turut menguasai Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit dengan 45 mata, diikuti Petr Rikunov dengan 41 mata dan Castellon yang mengumpul 26 mata.
Persaingan Jersi Biru Raja Pecut pula semakin sengit apabila Malucelli mendahului dengan 44 mata, hanya lima mata mengatasi Pickrell yang mengumpul 39 mata, manakala Van den Boer di tempat ketiga dengan 20 mata. Untuk Jersi Putih Terbaik Asia, Yuhi Todome mendahului dengan catatan 21:46:00s, diikuti Tsen Ren Bao dan Tsen Ren Han.
Saingan LTdL 2026 diteruskan esok menerusi Peringkat 7 dari Melaka ke Batu Pahat sejauh 158.9km, dengan tiga zon pecutan menanti pelumba di Tangkak, Bukit Kepong dan Parit Sulong.