Kredit Gambar: MSN Malaysia

Datuk Azizulhasni Awang tidak mahu terus memaksa dirinya selepas Kejohanan Dunia di Shanghai, sebaliknya merancang untuk memperlahankan rentak bagi mengembalikan tenaga mental dan fizikal sebelum memasuki fasa persiapan menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Jaguh berbasikal trek negara itu bakal menutup kempen 2026 dengan Kejohanan Dunia di Shanghai dari 14 hingga 18 Oktober, yang turut menjadi kejohanan pertama dalam tempoh kelayakan Olimpik bagi edisi Los Angeles.

Azizulhasni menamatkan kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya dengan satu emas menerusi keirin lelaki dan gangsa dalam acara pecut individu, sekali gus membantu Malaysia meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa dalam saingan berbasikal trek.

Lebih menarik, pelumba berusia 38 tahun itu berada pada prestasi terbaik dalam acara keirin sepanjang musim ini apabila memenangi semua kejohanan utama yang disertainya, termasuk dua emas pada siri Piala Dunia, Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Aichi-Nagoya.

Rentak tersebut menyaksikan Azizulhasni melengkapkan hatrik kemenangan emas dalam keirin tahun ini, namun beliau mengakui cabaran untuk mengekalkan tahap prestasi sama bukan sesuatu yang mudah.

“Saya gembira dapat melengkapkan hatrik emas (Piala Dunia, Glasgow dan Aichi-Nagoya) tahun ini. Musim ini memang emas demi emas,” katanya.

Selepas Kejohanan Dunia, Azizulhasni mahu memberi lebih perhatian kepada proses pemulihan sebelum kembali membina asas latihan, termasuk meningkatkan prestasi di gimnasium bagi memastikan tahap fizikal dan mentalnya berada pada keadaan terbaik dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Saya harap tiada siapa yang terkejut jika saya memperlahankan rentak selepas Kejohanan Dunia. Saya perlu memperlahankan kayuhan dan mendapatkan semula tenaga dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Izzah Izzati Asri turut menyerlah di Aichi-Nagoya apabila membantu skuad pecut berpasukan wanita yang turut dibarisi Aliana Azizan, Nur Alyssa Farid dan Anis Amira Rosidi meraih perak, selain memenangi gangsa keirin wanita.

Pingat tersebut menjadi yang pertama buat Malaysia dalam acara keirin wanita di Sukan Asia sejak Fatehah Mustapa meraih perak di Incheon 2014, manakala Alyssa yang baru berusia 20 tahun turut mencuri perhatian pada penampilan sulungnya dengan menduduki tempat kelima final keirin dan keempat pecut individu.