Skuad hoki lelaki kebangsaan, Speedy Tigers, bertekad menutup kalendar antarabangsa 2026 dengan keputusan positif apabila turun beraksi pada Piala Sultan Azlan Shah (SAS) edisi ke-32 yang berlangsung di Ipoh dari 20 hingga 28 November ini.
Ketua jurulatih negara, Brendon Caralon, mahu anak buahnya memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk memburu kejuaraan yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada 2022, sekali gus menamatkan penantian 29 tahun sebelum kejayaan tersebut.
Beliau berkata, skuad negara perlu mengekalkan momentum dan meningkatkan prestasi bagi memenuhi harapan penyokong yang semakin tinggi, terutama apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Kami perlu teruskan momentum dan meningkatkan standard permainan dengan satu lagi persembahan yang meyakinkan. Kali ini keterujaan dan harapan penyokong lebih besar kerana kami bermain di laman sendiri,” katanya pada sidang media pra-kejohanan.
Brendon mengakui prestasi Malaysia masih belum konsisten dalam beberapa kejohanan, selain kecewa dengan kekalahan kepada Jepun pada separuh akhir Piala Asia, namun melihat Piala Sultan Azlan Shah sebagai peluang untuk memperbaiki kelemahan dan terus berkembang.
Katanya, saingan kali ini dijangka sengit apabila Malaysia bakal berdepan Australia, Pakistan, Korea Selatan, Kanada dan Amerika Syarikat, dengan setiap pasukan hadir membawa cabaran tersendiri.
Selain kejohanan di Ipoh, Speedy Tigers turut dijadual menjalani jelajah selama dua minggu ke Sepanyol pada Januari 2027, dengan lima hingga enam perlawanan ujian sebelum meneruskan perjalanan ke Piala Negara-Negara 2027 di Karachi, Pakistan.
Brendon turut mengesahkan dua pemain daripada skuad remaja yang membantu Malaysia menjuarai Piala Sultan Johor baru-baru ini akan diberi peluang, sebagai sebahagian usaha memberi pendedahan kepada bakat baharu di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, penyerang Akhimullah Anuar Esook dan pertahanan Aminudin Zain terpaksa diketepikan akibat kecederaan, dengan tempat mereka digantikan kapten skuad remaja Nabil Irfan Yusof serta Rahuul Fazrien Nazrien.

Malaysia hadir ke kejohanan itu dengan perjalanan musim yang tidak menentu, selepas menamatkan Piala Negara-Negara FIH 2025-2026 di Cape Town, Afrika Selatan pada Jun di tempat kelima sebelum mengakhiri kempen Piala Dunia FIH di Belgium pada Ogos dalam kalangan 16 pasukan bertanding.
Namun, Speedy Tigers bangkit dengan meraih pingat perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun sebelum membawa pulang gangsa daripada Piala Asia di Punjab, India, sekali gus memberi suntikan keyakinan menjelang kejohanan di Ipoh.
Malaysia yang berada di ranking ke-14 dunia akan memulakan kempen menentang Korea Selatan (ke-20) pada 20 November, diikuti Kanada (ke-19) pada 21 November dan Amerika Syarikat (ke-26) pada 23 November. Mereka kemudian berdepan Australia (ketiga dunia) pada 24 November sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Pakistan (ke-12) pada 26 November.
Australia kendalian Mark Hager muncul pasukan pilihan selepas mengumpul 10 gelaran SAS Cup, dengan kejayaan terakhir pada 2018. Kookaburras turut membawa lapan pemain daripada skuad Piala Dunia 2026, termasuk Tim Howard, Nathan Ephraums, Lachlan Sharp dan penjaga gol Jed Snowden, selain beberapa pemain yang menerima panggilan pertama tahun ini.
Pakistan pula memilih pendekatan memberi peluang kepada pemain muda dengan tidak menyenaraikan beberapa tonggak berpengalaman seperti bekas kapten Ammad Shakeel Butt dan penjaga gol utama Ali Raza, selain Arshad Liaquat, Adeel serta Abdul Mannan.
“Kami mempunyai ramai pemain berbakat dan memberikan peluang kepada generasi muda ini. Mereka akan memperoleh banyak pengalaman apabila berdepan pasukan yang kuat dalam kejohanan ini,” kata jurulatih Pakistan, Herman Kruis.