PASUKAN Harimau Malaya mungkin berdepan laluan baharu dalam usaha memburu tiket ke Piala Dunia dan Piala Asia sekiranya cadangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memperkenalkan Liga Negara-Negara Asia dua tahunan mulai 2030 direalisasikan.
Menurut laporan media sukan antarabangsa, berdasarkan dokumen taklimat cadangan AFC, pertandingan baharu itu akan membabitkan semua negara anggota dengan keputusan saingan turut mempunyai kaitan secara langsung terhadap proses kelayakan ke dua kejohanan utama berkenaan.
Cadangan itu membahagikan negara Asia kepada tiga peringkat, dengan 18 pasukan masing-masing ditempatkan di peringkat pertama dan kedua, manakala 11 pasukan lagi akan beraksi di peringkat ketiga yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.
Jika format kelayakan Piala Dunia dilaksanakan, setiap pasukan di peringkat pertama akan bermain 12 perlawanan sepanjang dua tahun, masing-masing enam di laman sendiri dan enam di tempat lawan. Enam pasukan teratas akan layak automatik ke Piala Dunia, manakala pasukan di kedudukan ketujuh hingga ke-10 bersaing untuk merebut dua lagi slot automatik.
Bagi kelayakan Piala Asia pula, setiap pasukan akan bermain enam perlawanan, dengan tiga aksi di laman sendiri dan tiga di tempat lawan. Semua pasukan peringkat pertama serta enam pasukan terbaik peringkat kedua akan mendapat tiket ke Piala Asia.
Menariknya, saingan itu bukan hanya berfungsi sebagai medan kelayakan apabila lapan pasukan terbaik peringkat pertama turut akan mara ke pusingan kalah mati bagi menentukan juara Liga Negara-Negara. Pada masa sama, sistem kenaikan dan penyingkiran automatik turut dicadangkan antara tiga peringkat selepas setiap edisi.
Situasi itu secara tidak langsung menjadikan kedudukan setiap pasukan dalam Liga Negara-Negara lebih penting, termasuk buat Harimau Malaya sekiranya Malaysia berjaya menempatkan diri dalam peringkat pertama. AFC juga dilaporkan tidak akan menggunakan pembahagian zon seperti format sedia ada, sebaliknya menggunakan sistem balang undian.
Sebelum kejohanan rasmi bermula pada 2030, AFC turut mencadangkan edisi percubaan pada 2028-29 bagi menguji format berkenaan serta menentukan pembahagian pasukan. Bagaimanapun, cadangan Liga Negara-Negara itu masih belum dimuktamadkan dan jika dilaksanakan, ia berpotensi mengubah cara Harimau Malaya memburu tiket ke Piala Dunia dan Piala Asia.