Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, memuji komitmen dan ketajaman jentera serangan pasukannya selepas Harimau Selatan membelasah PKR Svay Rieng FC 6-0 dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kemenangan besar itu hadir selepas JDT mempamerkan penguasaan permainan yang lebih meyakinkan pada babak kedua, sekali gus membolehkan mereka melakar permulaan positif dalam kempen kejohanan berkenaan.
Munoz mengakui tempoh rehat panjang sebelum perlawanan tidak menjejaskan rentak pasukannya, sebaliknya pemain berjaya mengekalkan tahap tenaga dan semangat untuk memburu kemenangan.
Beliau turut memuji keupayaan anak buahnya mencipta peluang, dengan jaringan yang terhasil pada separuh masa kedua menjadi bukti keberkesanan corak permainan yang diterapkan.
“Tahniah kepada pemain kerana mereka telah mempamerkan prestasi luar biasa. Selepas berehat panjang tanpa perlawanan, mereka tetap beraksi dengan tenaga, kekuatan dan semangat juang yang sama,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Menurut Munoz, keupayaan pemain menghasilkan peluang menjadi faktor penting yang membezakan kedua-dua pasukan, meskipun JDT hanya mendahului 1-0 ketika memasuki waktu rehat.
“Perkara paling penting pemain kita mampu mencipta peluang. Mereka yakin dengan corak permainan sendiri, dan jaringan mula hadir pada separuh masa kedua,” katanya.
Sementara itu, pengendali PKR Svay Rieng FC, Matthew Mervyn McConkey, mengakui kekalahan besar itu berpunca daripada kesilapan individu yang terlalu kerap dilakukan pemainnya ketika berdepan lawan yang memiliki kualiti tinggi.
Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai sesuatu yang sukar diterima, terutama apabila pasukannya gagal mengekang asakan JDT selepas rehat.
“Kami terlalu banyak melakukan kesilapan individu malam ini. Kalah 0-6 sesuatu yang tidak boleh diterima oleh kelab, tidak kira siapa pun lawan yang dihadapi,” katanya.
McConkey turut mengakui JDT meningkatkan mutu permainan pada separuh masa kedua ketika pasukannya pula kehilangan tumpuan, sekali gus membuka ruang kepada Harimau Selatan untuk menambah jaringan.
“JDT sebenarnya boleh menjaringkan lebih banyak gol pada separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, mereka bermain dengan jauh lebih baik, sedangkan tahap permainan kami merosot. Apabila kita melakukan kesilapan ketika menentang pasukan yang kuat, mereka pasti akan menghukum kita,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan Svay Rieng akan menilai kelemahan yang dikenal pasti dan memperbaiki prestasi pasukan sebagai persediaan menghadapi perlawanan seterusnya.
Kemenangan 6-0 itu memberikan suntikan keyakinan kepada JDT dalam usaha memburu kemaraan ke peringkat seterusnya, manakala Svay Rieng perlu segera bangkit bagi memperbaiki kedudukan dalam Kumpulan B.