Yes dan Ryt Bank secara rasmi diumumkan sebagai Rakan Penaja Utama (Title Partners) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kerjasama strategik yang mengangkat slogan “Demi Bola Sepak Malaysia”.

Kerjasama itu dimeterai menerusi majlis menandatangani perjanjian rasmi pada 29 Oktober 2026, dengan matlamat mendekatkan peminat kepada bola sepak kebangsaan selain menyokong pembangunan sukan itu di pelbagai peringkat.

Menerusi perkongsian berkenaan, ketiga-tiga pihak merancang melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi pembangunan bola sepak akar umbi, penglibatan komuniti, pengalaman hari perlawanan serta penghasilan kandungan digital bagi memperluas hubungan peminat dengan sukan nombor satu negara itu.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata bola sepak merupakan sumber kebanggaan negara yang mampu menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Bola sepak merupakan sumber kebanggaan negara dan minat bersama rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang. Kami mengalu-alukan Yes dan Ryt Bank sebagai Rakan Penaja Utama dan berharap dapat bekerjasama untuk memperkukuh ekosistem bola sepak, mendekatkan penyokong dengan sukan kebangsaan serta membuka lebih banyak peluang kepada bakat baharu dalam komuniti,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee, pula berkata kerjasama itu bukan sekadar penajaan, sebaliknya bertujuan menyokong komuniti dan generasi baharu bola sepak Malaysia. Menerusi Yes, teknologi sambungan 5G Advanced dan kecerdasan buatan (AI) akan dimanfaatkan untuk meningkatkan pengalaman peminat ketika mengikuti perkembangan sukan berkenaan.

Beliau berkata slogan “Demi Bola Sepak Malaysia” mencerminkan semangat rakyat daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi minat terhadap bola sepak, sama ada bermula di padang kampung mahupun gelanggang futsal di bandar.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ryt Bank, Wilson Soon, berkata bola sepak bukan sekadar pertandingan di atas padang, malah menjadi medium yang mengeratkan hubungan masyarakat menerusi aktiviti bersama rakan dan keluarga.

“Sama ada bermain futsal atau berkumpul di kedai mamak untuk menonton bola sepak, sukan ini mencipta detik yang menyatukan orang ramai. Dengan Ryt AI, urusan pembayaran dan pemindahan wang dapat dilakukan dengan mudah, membolehkan peminat menumpukan perhatian kepada pengalaman mereka berbanding urusan transaksi,” katanya.

Menerusi kerjasama itu, pelanggan Yes dan Ryt Bank juga bakal menikmati pelbagai tawaran berkaitan FAM, termasuk tiket perlawanan dan barangan edisi terhad, tertakluk kepada terma serta syarat promosi yang ditetapkan. Maklumat lanjut mengenai kelayakan dan ketersediaan tawaran akan diumumkan kemudian.

Kerjasama berkenaan dijangka berlangsung dalam beberapa tahun akan datang dengan tumpuan turut diberikan kepada penonjolan bakat baharu serta individu yang menyumbang kepada perkembangan bola sepak Malaysia merentasi pelbagai peringkat umur, jantina dan komuniti. Perincian program serta manfaat kepada penyokong akan diumumkan dari semasa ke semasa.