HAJAT Malaysia untuk memperoleh tujuh pingat emas keseluruhan dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di sini mendapat suntikan semangat apabila memenangi tiga perlawanan akhir acara Seni pada Jumaat malam.
Menguasai acara akhir Seni dilangsungkan malam ini, yang menyaksikan peserta negara bersaing dalam enam daripada lapan acara dipertandingkan, Malaysia memperoleh emas pertamanya apabila pasangan Mohd. Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga memenangi acara Seni Ganda Putera.
Melangkah ke Arena Satu untuk acara akhir pertama dipertandingkan untuk edisi kali ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pasangan negara beraksi dengan cukup meyakinkan untuk meraih kejayaan kedua berturut-turut dalam Kejuaraan Dunia setelah melakukannya di Singapura pada 2018.
Mereka menjadi penyumbang emas pertama kem negara apabila mengumpul 9.950 mata untuk menumpaskan gandingan adik-beradik Almohaidib E. Abad-Alfau Jan E. Abad dari Filipina yang mengumpul 9.930 mata di Arena Satu.

Malaysia memperoleh emas pertamanya apabila pasangan Mohd. Taqiyuddin Hamid (kiri) dan Sazzlan Yuga (kanan) memenangi acara Seni Ganda Putera.
“Kami amat bangga dan gembira dapat menyumbangkan emas pertama untuk negara. Ini juga bermakna kami telah berjaya mencapai matlamat peribadi untuk mempertahankan kemenangan pada 2018 di Singapura.
“Ini adalah kategori paling diminati dalam acara seni kerana tiada rutin tetap mesti dilakukan. Acara ini memberi kebebasan kepada peserta untuk melakukan pergerakan jadi kami perlu benar-benar kreatif,” kata Sazzlan selepas kejayaan mereka disambut sorakan penyokong tempatan.
Menjelaskan faktor kejayaan mereka Mohd Taqiyuddin, 29, berkata, keputusan berani mengambil risiko pada penghujung persembahan iaitu ketika menggunakan parang membolehkan mereka memikat hati wasit.
“Strategi kami adalah terus membuat pergerakan pada tahap tertinggi di peringkat permulaan, kemudian redakan sedikit langkah dan pada penghujungnya kami rancakkan semula.
“Kami juga telah mengambil risiko ketika menggunakan parang pada hujung persembahan. Di situlah kami mendapat banyak mata. Peserta lain tidak berani berbuat begitu di mana mereka akan memperlahan pergerakan kerana bimbang timbul masalah.
“Kami pernah bertanya kepada beberapa wasit di mana yang boleh memberikan banyak mata, jawapan mereka ialah mereka menunggu aksi berparang, jadi kami bersungguh-sungguh di situ,” katanya.

Muhammad Syafiq Ibrahim (kanan), Nashrul Edam Mohd. Asri (tengah) dan Luqman Laji (kiri) raih emas menerusi acara Regu Putera.
Mohd. Taqiyuddin dari Pahang dan Sazzlan, 27, dari Sabah yang telah berpasangan selama lima tahun memberitahu, mereka telah beberapa kali bertemu pasangan Filipina itu tetapi ini adalah kali kedua dalam pertarungan akhir dan wakil negara jiran itu dilihat tidak banyak mengubah teknik persembahan mereka.
Kemenangan mereka diikuti oleh Muhammad Syafiq Ibrahim, Nashrul Edam Mohd. Asri dan Luqman Laji menerusi acara Regu Putera apabila mengutip 9.965 mata di Arena Satu untuk mengatasi cabaran peserta Indonesia Anggi Faisal Mubarok, Asep Yuldan Sani dan Rano Slamet Nugraha yang mengumpul 9.950 mata.
Arena Satu terus menjadi lubuk emas kem negara apabila Merrywati Manuil mengutip 9.950 mata untuk menewaskan Puspa Arum Sari dari Indonesia yang meraih 9.910 mata dalam acara Seni Tunggal Puteri.
Perlawanan akhir disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam merangkap Penaung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Merrywati Manuil mengutip 9.950 mata untuk menewaskan Puspa Arum Sari dari Indonesia yang meraih 9.910 mata dalam acara Seni Tunggal Puteri.
Sementara itu Luqman gagal meraih emas berganda apabila tumpas dalam acara Tunggal kepada Muhammad Iqbal Abdul Rahman dari Singapura di Arena Satu. Luqman mengumpul 9.950 mata berbanding lawannya yang mendapat 9.970 mata.
Di Arena Dua pula Nur Syafiqah Hamzah meraih pingat perak Tunggal Puteri, tumpas kepada Puspa Arumsari dari Indonesia. Nur Syafiqah mengumpul 9.940 mata manakala lawannya unggul dengan 9.965 mata.
Perak kedua skuad negara turut diperoleh di Arena Dua menerusi Mohd. Shukrillah Badrilah yang tewas kepada wakil Indonesia Syarif Hidayatullah dalam acara Tunggal Putera. Mohd. Shukrillah mengutip 9.925 mata berbanding 9.960 mata yang diraih lawannya.