Pemain pertahanan Harimau Malaya, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili percaya skuad kebangsaan mempunyai kemampuan untuk mencatat keputusan positif dalam dua aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yemen bulan ini.

Keyakinan pemain berusia 23 tahun itu hadir berdasarkan prestasi semasa Malaysia, khususnya ketika mengharungi saingan Piala ASEAN FIFA 2026 yang menyaksikan skuad negara menamatkan kempen di kedudukan ketiga.

Walaupun gagal muncul juara, Harimau Malaya mempamerkan aksi konsisten apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan, selain tidak dibolosi sepanjang kejohanan tersebut.

Skuad kendalian ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe itu merekodkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri, dengan keseluruhan 10 gol berjaya dihasilkan tanpa melepaskan sebarang jaringan.

Ubaidullah menyifatkan pencapaian tersebut sebagai suntikan motivasi buat pemain untuk meneruskan momentum positif menjelang cabaran di China.

“Sudah tentu, persembahan di Piala ASEAN FIFA ini merupakan motivasi untuk kita terus maju ke hadapan,” katanya.

Menurut pemain berusia 23 tahun itu, dua perlawanan berkenaan juga membawa kepentingan besar kepada Harimau Malaya, terutama dalam usaha mengumpul mata bagi memperbaiki kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Selain itu, beliau melihat peluang beraksi di luar negara sebagai pengalaman berharga, khususnya buat pemain yang masih baharu dalam persekitaran skuad kebangsaan.

“Bagi saya, sebagai pemain, saya percaya kami sebagai satu pasukan cuba untuk mendapatkan mata untuk Malaysia.

“Kita tahu dua perlawanan ini sangat penting untuk (persiapan) kita hadapi kelayakan Piala Dunia. Paling penting adalah pengalaman dan persembahan di luar negara,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Ubaidullah turut menyentuh mengenai keserasian barisan pertahanan Harimau Malaya yang disifatkannya berada pada tahap baik memandangkan kebanyakan pemain sudah pernah bersama dalam kem kebangsaan sebelum ini.

“Keserasian sudah ada. Pemilihan pemain yang akan beraksi terpulang kepada jurulatih, dan saya percaya sesiapa yang diberi peluang akan memberikan 100 peratus,” katanya.

Harimau Malaya dijadual menentang China pada 14 November sebelum bertemu Yemen tiga hari kemudian, iaitu pada 17 November, dalam usaha meneruskan prestasi positif di pentas antarabangsa.