Kredit Gambar: OCM

Pembangunan sukan negara memerlukan perubahan pendekatan dengan penglibatan lebih besar sektor korporat bagi memastikan Malaysia mampu kekal kompetitif di pentas antarabangsa.

Gesaan itu disuarakan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang berpendapat kebergantungan kepada peruntukan kerajaan semata-mata tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan landskap sukan yang semakin berkembang.

Menurutnya, potensi sukan negara masih belum mencapai tahap maksimum dan memerlukan pendekatan baharu, termasuk menjadikan sukan sebagai sebuah industri serta kerjaya yang mampu memberikan jaminan masa depan kepada mereka yang berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas dinobatkan sebagai Ikon Sukan Tahunan SEBA 2026, malam tadi, sambil menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam pembangunan sukan negara.

“Saya bersyukur di atas penghormatan dan pengiktirafan yang diberikan. Ini menunjukkan usaha selama ini untuk memberi sumbangan kepada pembangunan sukan negara dihargai.

“Ia juga akan memberi inspirasi kepada saya untuk bekerja lebih kuat,” katanya.

Norza berkata, pembangunan sukan perlu turut memberi perhatian kepada kebajikan atlet, jurulatih dan pentadbir supaya mereka mempunyai keyakinan untuk menjadikan bidang itu sebagai kerjaya jangka panjang.

Katanya, atlet dan jurulatih perlu diberikan jaminan bahawa penglibatan mereka dalam sukan bukan satu pilihan yang sia-sia, manakala sumbangan golongan pentadbir juga wajar dihargai dan dikenang.

Beliau turut mencadangkan penubuhan satu platform perbincangan bersama yang menghimpunkan kerajaan, sektor korporat, atlet, pentadbir sukan dan majlis sukan negeri bagi merangka hala tuju masa depan sukan negara.

Menurutnya, pendekatan secara kolektif itu penting untuk memastikan sistem pembangunan sukan Malaysia kekal kukuh dan tidak terjejas setiap kali berlaku perubahan kepimpinan kerajaan.

“Kita memerlukan satu sistem yang strukturnya tidak berubah setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan kerajaan. Sebaliknya, sistem itu perlu terus diperkukuh.

“Kita tidak boleh melihat perkara ini semata-mata daripada sudut politik. Komuniti sukan sendiri perlu dilibatkan,” katanya.

Norza turut mencadangkan supaya sebuah majlis lebih besar diwujudkan dengan penglibatan MOM, atlet dan pentadbir sukan bagi merangka resolusi serta perancangan pembangunan sukan negara untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan, sektor korporat, MOM dan majlis sukan di peringkat negeri perlu diselaraskan menerusi satu matlamat bersama demi memastikan pembangunan sukan negara mempunyai perancangan yang lebih jelas dan berterusan.

“Kerajaan, sektor korporat, MOM dan majlis sukan negeri perlu duduk bersama untuk membentuk satu resolusi utama bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

“Jika tidak, kita akan terus berada pada tahap yang sama,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa lebih banyak syarikat korporat, khususnya organisasi besar yang mencatatkan keuntungan tinggi, tampil menyumbang semula kepada pembangunan sukan negara.

Bagaimanapun, beliau berpandangan usaha menarik penglibatan sektor korporat perlu disokong dengan insentif bersesuaian, termasuk dari segi cukai, supaya sumbangan kepada pembangunan sukan turut memberikan manfaat kepada syarikat yang terlibat.

Menurutnya, perkembangan sukan baharu seperti teqball, padel dan pickleball turut menunjukkan landskap sukan semakin kompetitif dan memerlukan pendekatan pembangunan yang lebih dinamik.

Justeru, Norza percaya perubahan pemikiran perlu dilakukan sekiranya Malaysia mahu terus menjadi kuasa sukan bukan sahaja di peringkat serantau, malah mampu bersaing pada tahap lebih tinggi di pentas antarabangsa.