Melaka Titans meneruskan momentum cemerlang selepas menjuarai Grand Prix (GP) Melaka apabila menewaskan Negeri Sembilan Antlers 2-0 dalam aksi Kumpulan A GP Kuala Lumpur, malam ini.
Kemenangan mudah itu menyaksikan Melaka Titans tampil dominan dengan mengatasi Negeri Sembilan menerusi keputusan 15-7 dan 15-4 untuk mengesahkan kemenangan straight set.
Prestasi konsisten Melaka Titans meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik menjelang aksi terakhir kumpulan menentang Penang Black Panthers esok, dengan kemenangan akan mengesahkan kedudukan sebagai juara Kumpulan A.

Aksi derbi Lembah Klang antara Selangor Pistons dan KL Thunders berlangsung dengan penuh emosi.
Dalam aksi Kumpulan D pula, tuan rumah KL Thunder terpaksa akur apabila tewas 1-2 kepada Selangor Pistons dalam pertembungan Derbi Lembah Klang yang berlangsung sengit selama 114 minit.
KL Thunder terlebih dahulu menguasai set pertama menerusi kemenangan 17-14 sebelum Selangor Pistons bangkit menyamakan kedudukan dengan memenangi set kedua 15-12.
Selangor kemudian melengkapkan kebangkitan apabila mengatasi KL Thunder 17-15 pada set penentuan untuk memastikan kemenangan 2-1.
Kekalahan itu menyaksikan KL Thunder perlu bangkit dalam aksi terakhir kumpulan menentang PDRM Defenders esok bagi memburu kemenangan dan tiket ke suku akhir GP Kuala Lumpur.
Sebaliknya, Selangor Pistons masih perlu menunggu keputusan perlawanan esok dengan mengharapkan PDRM Defenders menewaskan KL Thunder bagi membuka peluang mereka melangkah ke suku akhir.