Kuching City FC berpeluang memanfaatkan prestasi tidak menentu Phnom Penh Crown apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi kelima peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, petang ini.
Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak melihat rentetan keputusan kurang memberangsangkan wakil Kemboja itu sejak beberapa minggu lalu sebagai ruang buat anak buahnya memburu keputusan positif di laman sendiri.
Phnom Penh Crown masih gagal menemui kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir apabila tewas 1-2 kepada Kitchee pada 5 November, sebelum mengalami kekalahan dengan jaringan sama ketika berdepan Boeung Ket tiga hari kemudian. Mereka kemudian terikat 1-1 dengan Kirivong Sok Sen Chey pada 21 November.
Bagaimanapun, Aidil tidak mahu skuadnya memandang mudah cabaran lawan kerana mengakui Phnom Penh Crown memiliki kekuatan tersendiri, terutama dari sudut perancangan taktikal.
“Phnom Penh Crown merupakan sebuah pasukan yang bagus. Mereka juga mempunyai perancangan taktikal yang baik,” katanya.
Walaupun menghormati kemampuan lawan, Aidil percaya situasi semasa Phnom Penh Crown perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Kuching City bagi mendapatkan keputusan yang diharapkan.
“Berdasarkan apa yang saya lihat sepanjang tiga minggu terakhir, mereka tidak memperoleh keputusan yang baik. Saya fikir inilah masanya untuk kami mengambil kesempatan terhadap situasi mereka,” katanya.
Justeru, pertemuan bermula jam 6 petang ini menjadi peluang buat Kuching City membuktikan kemampuan di pentas Asia, dengan Aidil berharap anak buahnya dapat menterjemahkan kelebihan beraksi di laman sendiri kepada keputusan positif.