KEJUARAAN Pencak Silat Dunia Ke-19 yang berakhir pada Ahad mendapat pujian tinggi daripada Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat), malah Presidennya Datuk Seri Prabowo Subianto meletakkannya sebagai Kejuaraan Dunia terbaik dalam sejarah setakat ini.

Tegasnya, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) telah meletakkan suatu tanda aras terhadap Kejuaraan Dunia akan datang menerusi penganjuran kejuaraan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, yang dianggapnya sebagai cabaran kepada semua tuan rumah seterusnya.

“Kejuaraan kali ini sangat teratur, berdisiplin dan meriah. Saya boleh katakan juga megah. Upacara pembukaannya sangat bagus dan alhamdulillah pelaksanaannya sangat baik. Saya ucapkan tahniah kepada Pesaka, terutama Presidennya Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

“Pesaka telah menjadikan kejuaraan ini sebagai benchmark (tanda aras) yang sangat tinggi untuk (penganjur) selanjutnya. Kalau tidak salah kejuaraan seterusnya di Indonesia, berkemungkinan besar di Jakarta. Bererti kita harus lebih bagus daripada di sini,” katanya.

Prabowo Subianto

Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 asalnya ingin diadakan di Sarawak pada 2019 namun terpaksa ditunda selama kira-kira dua tahun apabila hampir seluruh dunia melaksanakan lockdown akibat pandemik Covid 19.

Apabila Malaysia memasuki fasa endemik, Melaka telah dipilih sebagai tuan rumah yang baharu.

“Kita sangat gembira kerana dua tahun kejuaraan ini ditunda akibat pandemik Covid 19. Kita sangat bersyukur, terima kasih kepada Pesaka yang berhasil melaksanakan, menganjurkan suatu pertandingan yang menurut saya sangat-sangat baik, yang terbaik setakat ini.

“Sebanyak 40 negara yang hadir, terbanyak sepanjang sejarah pencak silat dunia. Jadi tahniah. Terima kasih kerana menyediakan pertandingan yang sangat baik, suasananya sangat baik, juga sokongan sangat besar daripada kerajaan Malaysia, dan juga kerajaan Melaka.

“Pesaka telah menjadikan kejuaraan ini sangat menarik kepada penonton. Saya dapat laporan kejuaraan ini mencapai ke 85 negara di seluruh dunia. 85 negara yang mengikuti pertandingan ini,” katanya.

Bagi menghargai sumbangannya terhadap perkembangan dan pembangunan silat di seluruh dunia, Prabowo telah dianugerahkan pingat Darjah Gemilang Seri Melaka (DGMS) yang membawa gelaran Datuk Seri oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di sini baru-baru ini.

“Penghargaan yang diberikan kepada saya dari negeri Melaka ini adalah suatu penghormatan yang sangat-sangat besar. Terima kasih kepada kerajaan Melaka dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, ujarnya.

Bersempena Kejuaraan Dunia kali ini, Persilat telah mengadakan kongresnya di mana Menteri Pertahanan Indonesia itu dipilih semula sebagai Presiden.

“Saya sebenarnya telah minta diganti. Saya minta Malaysia menggantikan saya tetapi mereka minta saya terus menjadi presiden Persilat sekali lagi.

“Saya akhirnya menerima permintaan itu. Ini juga suatu penghormatan bagi saya, tetapi juga suatu amanah untuk memastikan seni bela diri ini terus dipelihara.

“Pencak silat ini warisan leluhur, warisan nenek moyang. Ini budaya nusantara, budaya Melayu. Kita sebagai rumpun Melayu wajib menjaga budaya ini,” tegasnya.

Persilat kini memiliki 85 negara anggota namun itu tidak cukup memuaskan bagi Prabowo selagi belum melihat seni bela diri itu dipertandingkan dalam Olimpik.

Prabowo Subianto mengucapkan tahniah kepada Pesaka, terutama Presidennya Megat Zulkarnain di atas kejayaan penganjuran Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19.

Oleh itu katanya ahli-ahli gabungan Persilat, terutama empat negara yang merupakan badan pendirinya, mesti bekerja keras untuk mencapai matlamat itu.

“Kita ingin masuk Olimpik. Untuk itu banyak syarat yang harus kita capai, harus kita laksanakan. Jadi paling penting 85 persekutuan itu harus berdaftar, harus diterima oleh majlis Olimpik masing-masing negara.

“Ini yang cukup berat kerana masing-masing negara syaratnya banyak, kadang-kadang syarat-syaratnya sangat ketat, sulit. Tetapi kita harus mendorong persekutuan kebangsaan itu untuk berdaftar dan diterima oleh majlis Olimpik tiap negara. Itu adalah langkah paling penting.

“Kita juga harus fokus kepada usaha, contohnya mereka sangat memerlukan jurulatih. (Dalam hal) itu mungkin kita iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei selaku badan pendiri Persilat harus duduk berbincang dan mengatur bagaimana untuk membantu pembangunan di negara-negara itu.

“Persilat sasarkan paling cepat 2028 untuk masuk Olimpik.  Harap semuanya berjalan lancar.

“Jadi harus kerja keras. Seperti saya kata tadi fokus kepada memastikan pendaftaran semua 85 persekutuan yang menjadi ahli kita sekarang. Mereka juga mesti diuruskan dengan baik, harus teratur dari segi tata kelola.

“Syarat untuk menyertai Olimpik harus ada 75 negara berdaftar dengan IOC (Majlis Olimpik Antabangsa). Itu bukan kerja mudah,” katanya.