KETIKA Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah muncul juara dunia, Pearly Tan-M Tinaah juga sudah memahat nama sebagai gandingan beregu digeruni, Chen Tang Jie pula masih mencari tapak di pentas antarabangsa.
Mempunyai ketinggian dan fizikal yang baik sebagai seorang pemain badminton, Tang Jie berharap percaturan Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky buatnya kali ini menjadi.
Menurut Tang Jie, dia akan terus kekal beraksi dalam acara beregu campuran namun kali ini bersama gandingan baru.
Pernah digandingkan bersama Peck Yen Wei dan Valeree Siow, Tang Jie akan diberi gandingan baru ketiga untuk tahun ini dalam memastikan kehadirannya di pentas dunia badminton, disedari.

Tang Jie (kiri) dan Yen Wei pernah bergandingan bersama.
“Saya sudah berbincang dengan Rexy dan jurulatih beregu campuran, Teo Kok Siang dan kami secara bersama bersetuju untuk Yap Ling menjadi gandingan baru saya,” kata Tang Jie, ketika ditemui selepas latihan di Bukit Kiara.
Menurutnya, dia meminta digandingkan dengan Yap Ling kerana berasa lebih sesuai bersama.
“Gandingan saya dan Yap Ling juga akan memberi kelebihan dari segi ketinggian dan ‘power’ dalam perlawanan. Jadi saya berharap kombinasi kami akan menjadi lebih baik,” katanya,
Tang Jie kini berusia 24 tahun berjanji mahu membalas kepercayaan jurulatih yang membenarkannya bergandingan dengan Yap Ling.
Katanya, dia dan Yap Ling kini akan melakukan persiapan untuk menghadapi kejohanan Terbuka Australia (15-20 November), dan mahukan keputusan baik di kejohanan itu.
Sebelum ini, Yap Ling pula bermain dalam acara beregu wanita dan bergandingan dengan Go Pei Kee.

Tang Jie, harapkan gandingan baru bersama Yap Ling dalam beregu campuran, menjadi.
Mengulas mengenai keserasian antara dia dan Yap Ling, Tang Jie berkata, dia akan berusaha mendapatkan keserasian yang baik.
“Dia (Yap Ling) perlukan masa untuk bermain dalam beregu campuran walaupun dia pernah bermain dalam acara ini dahulu. Saya percaya, dia dan saya boleh pamerkan aksi lebih konsisten dan mudah mendapatkan persefahaman,” kata Tan Jie lagi.
Bergandingan dengan Yap Ling, Tang Jie berharap bukan lagi gandingan eksperimen dan dia mahukan kejayaan lebih konsisten berbanding bersama Yen Wei dan Valeree.
Tang Jie bergandingan dengan Yen Wei lebih empat tahun dan memenangi pingat emas Sukan SEA Hanoi Mei lalu.
Sementara dalam kejohanan Jelajah Dunia pula, pencapaian terbaiknya bersama Yen Wei adalah ketika muncul naib juara Terbuka India Januari tahun ini.
Dia digandingkan bersama Valeree selepas Sukan SEA namun hanya beraksi berdua selama dua bulan sebelum kembali bersama Yen Wei di Kejohanan Dunia dan Terbuka Jepun, Ogos lalu, yang menyaksikan mereka kandas di pusingan awal.