MENGHADAPI saingan Terbuka Malaysia yang kini berstatus Super 1,000 sememangnya menghadirkan tekanan apa lagi memegang status sebagai juara dunia.
Justeru, Soh Wooi Yik mahu mengetepikan tekanan itu dengan menukarnya kepada satu motivasi untuk dia dan Aaron Chia beraksi lebih baik.
“Kita sudah mendapat pengalaman berharga tahun lepas, jadi kami perlu hadapinya dan sebagai juara dunia, saya rasa sasaran kami adalah sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir,” kata Wooi Yik, ditemui selepas menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia pada Jumaat.
Diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan, Wooi Yik dan Aaron akan berdepan cabaran gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di pusingan pertama, sebelum berkemungkinan berdepan gandingan China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di pusingan kedua.

Soh Wooi Yik mahu konsisten sepanjang tahun bermula dengan Terbuka Malaysia.
“Kami faham untuk meraih satu-satu gelaran, kami perlu konsisten, bukan hanya pada satu perlawanan. Kami perlu konsisten sepanjang kejohanan dan konsisten sepanjang tahun.
“Itu yang kami lihat ada pemain China, mereka konsisten dari awal tahun hingga ke akhir tahun, sedangkan prestasi kami ‘up and down’, jadi kami perlu konsisten pada setiap mata, setiap peringkat dan setiap kejohanan,” katanya.
Selain itu, Wooi Yik berharap, beraksi di laman sendiri membantu mereka lebih bersemangat terutamanya dengan adanya sorakan padu penyokong di Axiata Arena.
Pada Terbuka Malaysia 2022, gandingan Wooi Yik-Aaron terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.