PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan bahawa insiden kebocoran bumbung tidak akan berulang selepas menyaksikan perlawanan di dua gelanggang pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, terpaksa dihentikan.
Kebocoran bumbung Axiata Arena menyaksikan perlawanan yang berlangsung pada gelanggang 2 dan 3, terpaksa dihentikan.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, kebocoran bumbung Axiata Arena berpunca daripada hujan lebat dan berangin, selain aktiviti pertukaran bumbung venue yang dilakukan buat kali pertama, semenjak dibangunkan pada Sukan Komanwel 1998.
Menurut Iliyas, pertukaran bumbung Axiata Arena dilakukan sejak April tahun lalu dan memberi jaminan kebocoran itu tidak akan berlaku lagi sehingga kejohanan bertaraf Super 1,000 itu melabuhkan tirainya Ahad ini.
“Kami sudah nampak punca permasalahan kebocoran di Axiata Arena yang berlaku pada petang tadi. Pihak kami dalam proses untuk memastikan kebocoran itu dapat ditutup segera.Saya rasa dalam tempoh masa kurang sejam lagi, kita akan selesaikanlah.
“Kami dalam proses untuk memastikan kebocoran ini tak berlaku dan memberi impak pada perlawanan malam ini serta perlawanan pada esok dan hari-hari seterusnya.
“Bumbung Axiata Arena telah melakukan proses pertukaran pada bulan 4 tahun lepas dan proses pertukaran ni dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JKR telah pun melantik kontraktor untuk melaksanakan penukaran bumbung ini tetapi dengan syarat penukaran tersebut dilakukan di mana kami tidak perlu menutup venue ini.
Kejadian berlaku ketika pemain beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menentang pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian di gelanggang 2, terpaksa dihentikan pada jam 3.56 petang manakala gelanggang 3 yang sedang berlangsung perlawanan perseorangan lelaki antara pemain Kanada, Brian Yang menentang jaguh India, HS Prannoy dihentikan pada jam 4.04 petang.
Dalam pada itu, Pengarah Acara (Operasi Pertandingan) Persatuan Badminton Dunia (BWF), S Selvaamresh berkata, mana-mana perlawanan yang ditangguh dan tidak sempat diteruskan pada hari ini, akan dibawa ke esok (Rabu) kerana enggan mengheret perlawanan sehingga lewat malam.
“Sekiranya Gelanggang 2 bocor dengan teruk, maka kami akan pindahkan semua permainan ke gelanggang 1 dan 3. Jika itu yang berlaku, permainan pasti akan berlanjutan lebih lama. Kami akan berbincang dengan barisan pengadil untuk bermain sehingga selewat-lewatnya pada pukul 10 malam ini,” kata Selvaamresh.