JAGUH pecut para T12 (masalah penglihatan) negara, Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah, menarik nafas lega apabila mendapat jurulatih baharu, selepas hampir 9 bulan tanpa pembimbing.

Menurutnya, kehadiran Hamberi Mahat sebagai jurulatih pecut para kebangsaan, bagai memberi sinar baharu kepadanya.

Afiq yang mengekalkan pencapaiannya mengekalkan tiga pingat emas di temasya Para Sukma kali ini bagaimanapun hanya mampu memecah satu rekod kebangsaan miliknya iaitu dalam acara 400 meter (m).

“Memang kurang berpuas hati kerana hanya dapat pecahkan satu rekod kebangsaan milik saya. Tapi saya juga perlu menerimanya kerana baru masuk bulan kedua dibimbing jurulatih Hamberi, selepas jurulatih R Jeganathan tidak disambung kontrak awal tahun ini.

“Jurulatih Hamberi masuk betul-betul sempat untuk persiapan ke Para Sukma 2022,” kata Afiq, selepas dikalungkan pingat emas acara 200m T12 lelaki pada Sabtu.

Dalam acara itu, Afiq mencatat masa 23.33 saat (s), 0.08s perlahan daripada rekod kebangsaan miliknya 23.25s.

Dia menewaskan atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi (24.59s) untuk pingat perak manakala atlet Sarawak, Flexcyvius Michael Ketet Anak Bakar (26.70s) untuk pingat gangsa.

Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah harap pengalaman Hamberi Mahat sebagai pelari pecut, mampu membawaanyba ke Kejohanan Dunia dan Paralimpik 2024

Afiq turut memenangi dua lagi pingat emas di temasya kali ini, iaitu dalam acara 100m dan 400m.

Dalam acara 100m, dia melakukan catatan 11.64s manakala dalam acara 400m, dia melakukan catatan 53.44s sekali gus memecah rekod kebangsaan miliknya, 55.11s yang dilakukan di Para Sukma 2018 di Perak.

“Sebenarnya sasaran saya di Para Sukma ini mencatat masa di bawah 10.90s dalam acara 100m sebagaimana yang jurulatih Hamberi tetapkan tapi saya gagal.

“Begitupun saya gembira kerana jurulatih mengesan kelemahan saya terutamanya di grid permulaan dan teknik larian,” katanya.

Pencapaian terbaik Afiq adalah memenangi pingat gangsa pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia 2018, dan dia terlepas pingat di Birmingham Julai lalu.

Justeru, Afiq berharap Hamberi mampu melonjakkan prestasinya yang mensasarkan layak ke Kejohanan Dunia 2024.

“Tahun hadapan bermula kelayakan ke Kejohanan Dunia 2024, dan jika layak, saya perlu menamatkan saingan di posisi pingat sekali gus akan memberi tiket layak secara automatik ke Paralimpik Paris 2024,” kata Afiq.