ISU hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia terus menjadi perhatian apabila perkembangan terbaharu mendedahkan harga terkini yang ditawarkan FIFA kini sekitar USD35 juta (kira-kira RM138,950,000).

Menurut sumber terdekat industri penyiaran, badan induk bola sepak dunia itu dilaporkan telah melaraskan harga hak siaran kepada semua pihak berkepentingan di Malaysia susulan kebimbangan terhadap kemampuan pasaran tempatan.

Sumber berkenaan memaklumkan angka tersebut dilihat lebih realistik berbanding jangkaan awal, namun masih menjadi cabaran besar kepada kebanyakan penyiar tempatan dari segi komersial.

“Angka sekitar USD35 juta kini ditawarkan kepada semua pihak berkepentingan di Malaysia selepas penilaian semula dibuat,” kata sumber itu.

Sebelum ini, timbul kebimbangan bahawa kos tinggi hak siaran boleh menyebabkan kejohanan berprestij itu tidak disiarkan secara meluas di negara ini.

Walaupun berlaku pelarasan harga, pemain industri penyiaran dilihat masih berhati-hati dan sedang menilai potensi pulangan pelaburan sebelum membuat sebarang keputusan.

Perkembangan ini membuka ruang kepada rundingan lanjut antara penyiar tempatan dan FIFA bagi mencari penyelesaian terbaik agar peminat tidak terlepas menyaksikan kejohanan berkenaan.

Keputusan muktamad berhubung hak siaran dijangka diketahui dalam masa terdekat memandangkan tempoh menjelang kejohanan semakin hampir.