PERTAHANAN kanan Terengganu FC, Muhammad Azam Azmi Murad tidak dapat menyorokkan kekecewaannya ekoran kekalahan terhadap Selangor FC dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium MBPJ Kelana Jaya tempoh hari.

Oleh demikian, pemain berusia 21 tahun itu berhasrat memadamkan rekod tanpa kalah Selangor FC dalam 9 perlawanan berturut-turut pada aksi timbal balik pada Isnin malam.

“Kecewa itu memang kecewa, saya hendak balas semula perasaan kecewa itu dengan kemenangan esok di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Saya hendak menang lawan Selangor FC untuk ke final dan hendak menjulang Piala Malaysia untuk tahun ini, bukan senang hendak dapat peluang sebegini sekali lagi,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Bagi melunaskan misi tersebut ketika menentang Gergasi Merah esok, dia berkongsi instinct bahawa Sang Penyu mampu mengatasi Selangor FC.

“Kalau hendak menang, harus berkeyakinan, kami akan berusaha untuk ke final dan saya ada rasa kita akan ke final.

“Bagi Azam, kita harus mencari tiga gol tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui Selangor FC adalah pasukan yang baik dan memiliki pemain berkualiti di dalam skuad tersebut.

“Semua pemain Selangor sangat baik, kesemuanya memiliki kualiti tersendiri. Kita pun tahu mereka sedang berada dalam peak performance. Mereka menang tanpa kalah setakat ini,” jelasnya.

Susulan prestasi meningkat naik pemain muda itu, dia menjelaskan ada menerima lebih tawaran pada musim ini namun memberi bayangan akan terus kekal bersama Terengganu FC selagi pasukan tersebut belum menjulang piala.

“Tahun ini banyak sedikit dapat tawaran, tetapi mungkin saya akan kekal bersama Terengganu. Impian saya bersama Terengganu ingin menjulang sekurang-kurangnya satu piala,” kongsinya.

ARTIKEL BERKAITAN : Debut yang penuh bermakna buat Azam dan Lambert

Sementara itu, pemain versatil ini juga tidak menolak seandainya sekali lagi diberi peluang Kim Pan-gon untuk menyertai panggilan skuad kebangsaan menjelang saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Kali terakhir Azam dipanggil menyertai pasukan kebangsaan adalah pada saingan King’s Cup di Chiang Mai, Thailand.

Sebelum ini, dia hanya diturunkan sekali dalam aksi menentang Thailand yang menyaksikan Malaysia berjaya mara ke perlawanan akhir sebelum tewas kepada Tajikistan dalam aksi final.

“Sekiranya Kim Pan-gon memanggil saya, sudah tentu saya akan pergi. Kalau diberi peluang, saya anggap itu rezeki.

“Kali pertama saya dipanggil adalah semasa King’s Cup. Saya diturunkan semasa melawan Thailand,” dedah pemain itu.