TONGGAK Selangor FC, Mukhairi Ajmal optimis untuk mendapatkan 10 gol dalam keseluruhan perlawanan bola sepak musim 2024/2025 bersama skuad The Red Giants.
Mukhairi yang juga merupakan pemain kebangsaan bawah 23 tahun (b-23) telah mengungkapkan rasa tidak berpuas hati dengan prestasinya musim lalu.
Hal ini kerana dirinya gagal meraih sasaran peribadi yang telah ditetapkan untuk musim 2023 lepas.
“Tahun lalu saya tidak dapat capai target saya kerana gagal menjaringkan gol yang banyak sekali gus tidak dapat membantu rakan sepasukan untuk bantuan jaringan.
“Jadi sasaran saya pada musim ini adalah untuk mendapatkan 10 gol semusim. Tetapi kalau lebih daripada itu, mungkin rezeki saya.
“Saya sedar bahawa bukan mudah untuk menjaringkan gol jadi Insya Allah, saya akan cuba yang terbaik,” ujarnya kepada pihak media.
Pemain berusia 23 tahun itu juga berharap agar tahun 2024 akan menjadi lebih baik buat dirinya lebih-lebih lagi dia akan mengetuai skuad b-23 ke Piala Asia B-23 Qatar, April depan.
“Bulan ini saya perlu lebih bekerja keras daripada orang lain kerana kita tahu saingan liga akan bermula pada bulan Mei dan Piala Asia bulan April.
“Jadi, saya harap tahun ini akan menjadi lebih baik untuk saya dan saya saya juga dapat menambah baik setiap kekurangan pada tahun lepas untuk tahun ini,” kata Mukhairi ketika ditemubual.
Untuk rekod, Mukhairi berjaya menjaringkan enam gol selain tiga bantuan gol dalam keseluruhan 27 perlawanan bersama Selangor musim lalu.