PENJAGA gol negara, Ahmad Syihan Hazmi masih berteka teki tentang masa depannya dan tidak mahu mengesahkan pasukan mana yang bakal disertainya untuk mengharungi Liga Malaysia musim hadapan sebaliknya mahu terus fokus pada tugasan bersama skuad kebangsaan.
Syihan juga tidak mahu merasakan dirinya bakal menyarung jersi nombor satu skuad kebangsaan sebaliknya mahu terus menunjukkan kesungguhan ketika latihan bagi memikat perhatian Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon.
Dia juga merasakan ada sedikit perbezaan dari barisan pertahanan namun dia tidak bimbang kerana percaya dengan kemampuan rakan sepasukannya walau siapa pun yang diturunkan nanti.

“Saya tidak boleh maklumkan tentang pasukan baharu cuma tunggu keputusan dikeluarkan dan sekarang Syihan hanya fokus pada tugasan bersama pasukan kebangsaan dan juga kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
“Ada dua atau tiga pasukan juga yang memberi tawaran tetapi Syihan akan membuat pilihan berdasarkan pasukan yang mana lebih baik dan boleh memberi ilmu lebih mendalam kepada kita selain boleh memberikan minit permainan namun semuanya terletak atas diri masing masing.
“Saya mempunyai pencabar yang baik di skuad kebangsaan dan ini bagus kerana saya tidak mahu berada pada zon yang selesa dan akan sentiasa memberikan aksi terbaik ketika latihan untuk menarik perhatian ketua jurulatih untuk terpilih dalam senarai akhir 23 pemain.
“Memang terdapat perbezaan dalam barisan pertahanan namun Syihan tidak bimbang kerana sebagai satu pasukan kami percaya antara satu sama lain dan yakin dengan siapa pun yang akan diturunkan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Barisan penjaga gol Harimau Malaya
Dalam masa sama, bekas penjaga gol Negeri Sembilan FC itu juga menegaskan dia belum selesa dengan apa yang ada pada dirinya ketika ini dan mahu terus bekerja keras pada musim depan.
“Syihan mahu jadi lebih baik daripada tahun ini dan menambahbaik apa yang kurang dan Syihan akan beri lebih lagi untuk musim hadapan,”
Syihan bakal berentap jersi nombor satu skuad kebangsaan dengan Kalamullah Al Hafiz dan Azri Ghani dan dia gembira jika siapa pun yang terpilih menyarung jersi kebangsaan kerana ini adalah keputusan dari barisan kejurulatihan.