HARI pertama ternyata bukan milik skuad badminton negara, apabila tiga lagi wakil tewas pada hari pembukaan Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir, di Bangkok, Thailand.

Juara beregu lelaki dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, gagal menjelmakan aksi sebenar sebagaimana di Kejohanan Dunia, Jepun Ogos lalu, apabila tewas mudah kepada lawan sama, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia.

Wooi Yik menyifatkan mereka agak lambat  mendapt rentak sehingga memberi peluang kepada pihak lawan.

“Sepatutnya perlawanan sengit, peluang 50-50 dan tidak semudah ini,” kata Wooi Yik.

Bagi Aaron pula, dia dan Wooi Yik berjaya mengikut rentak permainan sendiri namun gandingan Indonesia itu lebih kental dan menjadi.

“Kami cuba pecahkan rentak permainan merka malangnya mereka dapat mengawal dengan baik sehingga memberi kesan kepada keyakinan kami,” kata Aaron.

Hendra pula gembira kerana strategi mereka menyerang di barisan depan menjadi, manakala Ahsan pula lega kerana Aaron-Wooi Yik tidak berjaya mengajak mereka bermain rali panjang.

“Kami perlu main dan menamatkan rali dengan cepat kerana kami tidak boleh bermain rali panjang, terutamanya saya, tidak boleh,” kata Ahsan.

Turut tewas beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang kalah kepada gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 19-21, 16-21.

Sementara satu lagi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang diletakkan selaku pilihan keempat, tewas kepada pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningstyas Menterai, 12-21, 15-21.