LIONEL Messi mendakwa Argentina merasai kehadiran mendiang Diego Maradona sepanjang kempen Piala Dunia termasuk ketika mereka menewaskan Belanda menerusi penentuan sepakan penalti, yang membawa mereka ke separuh akhir.
Inspirasi Messi memimpin Argentina menempah pertemuan dengan Croatia selepas dia mencipta peluang untuk gol pembukaan Nahuel Molina sebelum menambah gol kedua menerusi sepakan penalti.
Kelebihan dua gol itu bagaimanapun disia-siakan Argentina, diikat di hujung permainan sebelum penjaga gol, Emi Martinez tenang menyelamatkan dua sepakan penalti pertama Belanda dan kemenangan dinoktahkan menerusi Lautaro Martinez yang menyempurnakan tendangannya.
“Diego memerhatikan kami dari syurga. Dia sentiasa memberi dorongan kepada kami dan saya harap ini kekal sehinggalah ke penghujungnya,” kata Messi.
“Apabila Lautaro menjaringkan gol dan kami layak (ke separuh akhir), ia satu kegembiraan yang amat besar dan kami boleh menarik nafas lega.
“Ini satu aksi yang begitu sukar sejak dari mula dan ini yang kami jangkakan. Belanda menyukarkan kami dengan hantaran panjang dan begitu ramai pemain dalam kawasan menyerang.
“Mereka mengikat kedudukan dan kami kecewa. Tetapi kami dapat mengesahkan tempat ke separuh akhir seperti yang kami inginkan.”

Pengendali Argentina, Lionel Scaloni menjelaskan pasukannya tidak berdepan masalah untuk memilih pemain yang bersedia mengambil sepakan penalti sekalipun babak kedua mereka berlangsung dengan buruk.
“Kadang kala, kita berdepan kesukaran dalam situasi seperti itu kerana pemain akan malu. Tetapi kali ini, ada ramai pemain yang bersedia, jadi kami hanya memutuskan mengenai turutan untuk mengambil sepakan penalti.
“Memang benar yang kami sepatutnya tidak diheret ke penentuan sepakan penalti tetapi kami tetap berjuang sehingga tamat permainan.
“Babak kedua amat pelik kerana semuanya dalam kawalan kami cuma anda juga tahu apa yang boleh berlaku dalam bola sepak.
“Ia perlawanan yang indah kerana apabila anda fikir yang semuanya sudah berakhir, anda akan terkejut. Pasukan ini ada pengalaman, maruah, pemain muda dan inilah kuncinya kerana kami mahu berjuang,” katanya. -REUTERS
Artikel Berkaitan:
Piala Dunia 2022: Argentina singkir Belanda dalam penentuan penalti