SELEPAS dua kali menjadi ‘mangsa’ mutu pengadilan berat sebelah oleh Ryuji Sato, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya menyuarakan permintaan kepada Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) agar pengendali dari Jepun itu tidak dipilih selaku individu berbaju hitam di atas padang selaku pengadil membabitkan aksi skuad Harimau Malaya.
Jika dua tahun lalu, Ryuji pernah dikecam peminat bola sepak Malaysia ketika turut mengadili aksi antara Malaysia dan Vietnam pada kempen kelayakan Piala Dunia di Dubai, tahun lalu.
Ia susulan tindakan Ryuji yang pernah mengadili perlawanan Piala Dunia Russia 2018 itu menghadiahkan sepakan penalti kontroversi kepada Vietnam ketika perlawanan itu berbaki 10 minit, sekali gus menyaksikan Malaysia tewas 1-2.
Penyokong Malaysia tampak berang dengan pemberian sepakan penalti kepada Vietnam yang dilihat tiada sentuhan berlaku daripada tonggak Harimau Malaya, Brendan Gan ke atas Nguyen Van Toan yang membuat simulasi di dalam kotak penalti sehingga memperdayakan pengadil.

Kini skrip sama seolah-olah berulang dengan Ryuji terus menjadi watak penting apabila melayangkan kad merah buat pertahanan negara, Azam Azmi Murad didakwa mengasari Doan Van Hau serta memberikan sepakan penalti buat tuan rumah pada aksi peringkat Kumpulan B, Piala AFF Mitsubishi 2022 di Stadium My Dinh, Selasa lalu.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menjelaskan, keinginan Malaysia agar Ryuji tidak dipilih selaku pengadil membabitkan perlawanan Harimau Malaya dinyatakan dałam surat rasmi yang dihantar pada Khamis.
“Menerusi surat rasmi yang dihantar melalui email jam 5 petang (semalam) beserta klip video dan mengharapkan Jawatankuasa Pengadil AFF menilai serta mengkaji semula, walaupun keputusan tidak akan berubah tetapi sekurang-kurangnya untuk kita jadikan iktibar pada masa akan datang.

Noor Azman Rahman
“Kalau dalam bahasa mudah difahami kita (FAM) tidak mahu Ryuji mengadili perlawanan membabitkan Malaysia agar isu seumpama ini tidak berulang.
“Tapi bila kita hantar laporan rasmi itu harap AFF fahamlah,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Tambah Noor Azman lagi, keputusan surat rasmi kepada AFF dibuat selepas meneliti rakaman video membabitkan layangan kad merah yang ternyata ada fakta untuk diketengahkan.
“FAM pun lihat rasa tidak puas hati dikalangan peminat dengan keputusan dibuat Ryuji, memang keputusan perlawanan tidak boleh diubah tetapi FAM telah menjalankan tugas menyuarakan rasa tidak puas hati terdapat mutu pengadilan pada perlawanan tersebut,” tegasnya.