SUSULAN kenyataan Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias yang didakwa mengugut membatalkan pendaftaran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi klip audio yang tersebar baru-baru ini, beberapa wakil persatuan sukan kebangsaan (PSK) mula membidasnya dan menyifatkan kenynataan berbaur ancaman itu berniat jahat.
Justeru, mereka menuntut Suhardi menarik balik kata-kata itu sambil memohon maaf kepada pucuk pimpinan MOM.
Pesuruhjaya Sukan itu diminta memahami batas-batas dan bidang kuasanya agar tidak melanggar Piagam Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang melarang campur tangan kerajaan dalam tadbir urus Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC).

Kenyataan media daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), semalam.
Suhardi dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu menerusi klip audio rakaman yang tular selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil daripada E-Sport berhubung pendaftaran sebuah badan induk E-Sport di peringkat antarabangsa pada 14 November lalu.
Pemimpin-pemimpin berkenaan juga menganggap Suhardi keluar daripada batas-batas kesusilaan apabila menyamakan MOM dengan Kerajaan Israel yang melakukan kezaliman terhadap penduduk Palestin dalam konflik terbaharu di Gaza.
Bagi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, Suhardi wajar membuat permohonan maaf.

“Saya agak terkilan dengan kenyataan Suhardi kerana ia dibuat dalam perjumpaan dengan wakil badan sukan. Kenyataan itu tidak menggambarkan falsafah dan corak kepimpinan YB Hannah Yeoh selaku Menteri Belia dan Sukan yang mesra dengan persatuan sukan serta semua pemegang taruh.
“MOM adalah badan induk yang memayungi semua persatuan sukan kebangsaan dan diikitraf sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC). Sebagai badan payung, MOM tidak akan melanggar apa-apa peraturan atau perlembagaannya sendiri sehingga memudaratkan status pendaftarannya di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.
“Pesuruhjaya Sukan pula ibarat hakim yang harus berlaku adil kepada persatuan sukan. Adalah wajar Suhardi memohon maaf kepada MOM atas keterlanjuran ini.”

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad pula menggesa Pesuruhjaya Sukan, menghidari dari berperang dengan MOM.
“Saya saran agar Pesuruhjaya Sukan jangan berperang dengan MOM, sebaliknya ikut bidang kuasa dan sempadan masing-masing. Apa hak dan kuasa Pesuruhjaya Sukan dan apa pula tugas dan tanggungjawab MOM sebagai badan payung sukan kebangsaan.
“Adalah tidak wajar Pesuruhjaya Sukan mengugut untuk membatalkan pendaftaran MOM tanpa sebab dan tanpa merujuk kepada MOM terlebih dahulu berhubung kandungan perbincangan dengan wakil E-Sport.
“Tugas Pesuruhjaya Sukan ini sebenarnya ibarat Peguam Negara. Antaranya ialah memastikan persatuan atau kelab yang berdaftar di seluruh negara aktif bukan sekadar menyerahkan laporan mesyuarat agung tahunan atau laporan kewangan secara tahunan. Beliau kena faham undang-undang.

Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias dipercayai membuat kenyataan mahu membatal pendaftaran MOM pada pertemuan tertutup bersama dua badan Esport pada 14 November lalu.
Bagi Presiden Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia (MSBF), Melvin Chia, Suhardi seharusnya berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan.
“Pejabat Pesuruhjaya Sukan adalah disaran agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan dalam mana-mana perjumpaan terbuka atau tertutup kerana dikhuatiri boleh disalah tafsir.
“Kita sedar bahawa IOC cukup konsisten mempertahankan semua Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) daripada sebarang bentuk campur tangan Kerajaan. Maka ancaman terhadap kewujudan dan fungsi MOM sudah tentu tidak boleh diterima badan induk dunia.
Walaupun Pesuruhjaya Sukan ada hak untuk membatalkan pendaftaran MOM mengikut undang-undang yang termaktub, ia tidak semudah menekan butang begitu sahaja.

Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli menganggap Suhardi melampaui batas.
“Kalaupun ada sebab MOM dikaitkan dengan perbincangan di antara Pesuruhjaya Sukan dan wakil-wakil sukan E-Sport atas kapasitinya selaku badan yang memayungi semua persatuan sukan kebangsaan, saya menganggap kenyataan Suhardi melampaui batas.
“Ini ditambah pula dengan kenyataan beliau menyamakan MOM seperti Kerajaan Israel adalah sesuatu di luar batasan, sedangkan MOM tidak berada di situ untuk mempertahankan sebarang dakwaan.
“Saya berharap Pesuruhjaya Sukan mengambil pendekatan membimbing dan mesra persatuan serta tidak sewenang-wenangnya mengugut untuk membatalkan pendaftaran sesiapa sahaja, terutama MOM yang dianggap sebagai badan induk atau payung bagi semua persatuan sukan kebangsaan.”

Setiausaha Agung Kongres Bowling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok menggesa kedua-dua pihak berdamai.
“Secara peribadi, saya harap ada jalan penyelesaian terhadap isu ini. Saya terkejut dengan kata-kata yang diungkap kerana mengenali Suhardi seorang yang tenang dan penyabar.
“Apapun saya melihat Pesuruhjaya Sukan sebagai penguatkuasa Akta Pembangunan Sukan 1997 tetapi beliau harus menghormati kedudukan MOM yang termaktub dalam Akta sebagai badan yang menguruskan penyertaan Kontinjen Negara ke semua temasya pelbagai sukan antarabangsa.”

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Kenny Goh meminta agar Pesuruhjaya Sukan kena faham peranan MOM.
“Isu ini menunjukkan bahawa Suhardi harus berwaspada apabila mengeluarkan sebarang kata-kata dan juga kepada siapa ia dituju kerana beliau adalah seorang yang berpangkat dalam sukan negara.
“Semua orang memahami peranan MOM dalam menguruskan Kontinjen Negara ke temasya pelbagai sukan dan kalaupun ada kesalahan melanggar sebarang peraturan atau perlembagaan dan undang-undang sedia ada, Pesuruhjaya Sukan harus membuat siasatan terperinci sebelum mengambil tindakan membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan.
“Saya harap ini menjadi pengajaran buat semua pegawai agensi Kerajaan mahupun pemegang jawatan persatuan sukan kebangsaan, termasuklah saya, agar berwaspada apabila mengeluarkan kenyataan sama ada dalam perjumpaan terbuka mahupun tertutup.”
ARTIKEL BERKAITAN:
Batal pendaftaran, disamakan dengan Israel… MOM minta penjelasan PJS
Suhardi buat laporan polis, penyebaran keratan rakaman berbaur fitnah