PENJAGA gol muda skuad Harimau Malaya, Sikh Izhan Nazrel sedar persaingan sengit bagi merebut posisi terakhir benteng bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar bulan depan.

Sikh Izhan bakal menyaingi dua lagi penjaga gawang berpengalaman Johor Darul Ta’zim, Syihan Hazmi dan Azri Ghani (KL City FC).

“Kita tahu Syihan Hazmi penjaga gol nombor satu. Saya rasa tak ada apa-apa tekanan untuk saya di bahagian gol keeper department semua adalah terbaik.

“Untuk ke Asia, saya hadir lengkapkan semua penjaga gol. Saya harap kalau diberi peluang bermain saya buat yang terbaik. Ianya salah satu pengalaman yang berharga untuk saya.

“Persaingan sihat antara saya, Syihan dan Azri. Masing-masing banyak perlu diperbaiki. Kalau ikutkan banyak juga nama besar yang boleh dipanggil,” katanya pada sesi latihan hari kedua skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.

Pemain berusia 21 itu turut berterima kasih kepada Kim Pan-gon kerana memberi peluang dirinya tampil bersama skuad negara di pentas tertinggi kejohanan Asia yang dipenuhi bintang ternama.

“Terima kasih kerana masih mempercayai saya untuk dalam skuad 26 terbaik Harimau Malaya.

“Saya rasa dalam skuad ini saya paling muda. Ini satu peluang yang terbaik untuk saya dapat pengalaman dan jika apa-apa yang berlaku, saya patut bersedia,” katanya yang mewakili Negeri Sembilan FC.

Sikh Izhan tidak ambil pusing segenap kritikan dan komen negatif dilemparkan terhadapnya, sebaliknya menjadinia sebagai batu loncatan pembakar semangat.

Tinjauan FLASH SUKAN dapati Sikh Izhan mempamerkan kesungguhan dalam sesi latihan bersama jurulatih penjaga gawang sambil berusaha memikat hati Kim Pan-gon.