REKOD barisan benteng pertahanan Harimau Malaya tampak menggusarkan selepas kerap bolos dalam beberapa siri aksi persahabatan serta Hari Perlawanan Fifa.

Walaupun berjaya meraih kemenangan serta mencatat keputusan seri di sebalik melepaskan jaringan, aspek ini harus dipandang serius pasukan Malaysia.

Sejak menumpaskan Papua New Guinea, 10-0 pada 20 Jun tahun lepas, barisan pertahanan negara dibocori sebanyak 12 gol dalam tujuh permainan.

Penjaga gawang negara, Syihan Hazmi berkata, segala kekurangan termasuklah komunikasi di bahagian pertahanan akan diperbaiki sebelum sepak mula berdepan Jordan pada 15 Januari ini.

“Yang mana kurang kita akan perbaiki tapi dengan keadaan sekarang kita kena set mental dan fizikal kita untuk teruskan ke depan.

“Betul kita kena kurangkan bolos, tapi kita punya serangan dengan persiapan sebelum ini ada perubahan. Bukan setakat pasukan kita sahaja, pasukan luar pun lagi padat dan kuat dalam menghadapi kejohanan ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di hotel penginapan pemain di Doha, Qatar.

Sementara itu, Syihan yang telah mengumpulkan 19 dalam penampilan di pentas antarabangsa mengalih tumpuannya kepada saingan sebenar Kumpulan E sebaik tamat perlawanan ujian tertutup menentang Syria yang berakhir seri 2-2.

“Yang paling penting sekali adalah untuk fokus perlawanan pertama. Kita kena bagi lebih 100 peratus dan kena kutip mata (lawan Jordan).

“Ia penting untuk kita untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya,” katanya yang beraksi untuk kelab Johor Darul Ta’zim.

Malaysia akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari (1.30 pagi 16 Januari waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.

Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.