SAYA tidak perlu buktikan apa-apa kepada sesiapa!
Bunyinya agak sombong tetapi itulah hakikat yang disuarakan pemain perseorangan nombor satu dunia, Viktor Axelsen, dari Denmark, menjawab kepada soalan dari wartawan mengenai pencapaiannya dalam badminton.
Sebagai salah seorang pemain terbaik dalam sejarah sukan badminton, Axelsen sudah memenangi pingat emas Olimpik dan lebih suka membiarkan orang lain bercakap untuknya.
Meskipun masih gagal merangkul sebarang gelaran musim ini, namun dia percaya dirinya masih ancaman terbesar sekiranya berada dalam keadaan fizikal terbaik.
“Kepada siapa saya perlu buktikan? Kenapa? Kepada anda?,” seloroh Axelsen selepas melangkah ke pusingan kedua Masters Malaysia menerusi kemenangan 21-14, 21-11 ke atas pemain Jepun, Koki Watanabe.

Viktor Axelsen yakin dirinya masih pencabar utama pada Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya menyayangi anda semua, tetapi saya tidak bermain untuk sesiapapun, saya bermain untuk diri saya sendiri dan keluarga saya.
“Saya tidak perlu membuktikan apa-apa tetapi itu tidak bermaksud saya tidak dahagakan kemenangan seperti dahulu. Saya masih dahagakan kemenangan seperti ketika saya berusia 15 tahun,” katanya.
Mengimbau kembali pencapaiannya, Axelsen sudah meraih semua gelaran utama malah mengungguli enam gelaran Jelajah Dunia tahun lalu.
Berbaki lebih kurang dua bulan lagi sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 bermula pada Julai depan, ramai yang sudah berbicara mengenai pemain pilihan untuk memenangi pingat emas.
Ditanya sama ada situasi itu memberi kesan kepadanya, Axelsen menjawab: “Saya biarkan orang lain bercakap, itu pasti.

Viktor Axelsen meraih pingat emas Olimpik pertama di Temasya Tokyo 2020.
“Inilah sebabnya kami dibayar dan boleh hidup daripada sukan kami; kerana orang bercakap tentang siapa yang menjadi pilihan.
“Saya hanya cuba menjadi versi terbaik diri saya, di dalam dan di luar gelanggang. Saya sangat gembira dengan segala yang sudah saya capai dan segala yang saya menangi selepas ini adalah bonus,” katanya.
Sebagai rekod, tiada pemain perseorangan lelaki selain Lin Dan dari China yang berjaya mempertahan dan memenangi pingat emas Olimpik dua kali.
Axelsen yang masih satu-satunya pemain Eropah yang memenangi gelaran perseorangan lelaki Masters Malaysia sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2009 akan bermain menentang Panitchaphon Teeraratsakul dari Thailand di pusingan kedua, esok.