PEMAIN tengah Kuala Lumpur City FC, Brendan Gan mengakui dia gembira dengan jaringan yang dilakukan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) namun tidak melihatnya sebagai kelebihan buat Kuala Lumpur City FC untuk dibawa ke Stadium Sultan Ibrahim bagi perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia.
KL City tewas 1-2 dengan Brendan meledak jaringan cantik pada minit akhir permainan untuk mengecilkan kelebihan aggregat JDT kepada hanya satu gol dan mahu mengambil pendekatan tanpa tekanan apabila bertandang ke Iskandar Puteri minggu hadapan.
Dia juga gembira dan bangga dengan apa yang dilakukannya serta rakan-rakan sepasukan kerana berjaya menampilkan aksi penuh disiplin terutama ketika bertahan sekali gus berjaya mengekang JDT dari mendapat kelebihan aggregat yang lebih besar.

Brendan gembira dengan aksi yang dipamerkan rakan-rakan sepasukan.
“Saya bangga dengan rakan-rakan sepasukan kerana kami beraksi dengan skuad yang serba kekurangan tanpa pemain-pemain yang beraksi dengan pasukan kebangsaan.
“Kami juga tahu betapa dominannya JDT pada 10 tahun terakhir ini dan mereka sentiasa menjadi lawan yang sukar dan walaupun kalah, saya bangga dengan usaha yang telah kami tunjukkan sepanjang perlawanan ini.
“Saya juga tidak menganggap gol saya sebagai penentu aksi ini kerana sejujurnya sangat sukar untuk bertemu JDT di stadium mereka. Saya beritahu rakan-rakan ini adalah peluang untuk mencabar diri bersaing dengan pasukan yang kuat dan kami perlu beraksi tanpa tekanan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Brendan turut bertindak sebagai mentor di dalam padang kepada pemain-pemain muda
Bekas kapten skuad kebangsaan itu juga turut mengakui mereka terpaksa mengadaptasi dengan situasi jadual yang padat dan mahu pemain-pemain muda tonjolkan potensi apabila diberikan peluang bermain oleh jurulatih.
“Sukar apabila sebelum ini kita berehat sebulan dan secara tiba-tiba ada lima perlawanan dalam sebulan. Ditambah pula pasukan dilanda masalah kecederaan dan ada yang bermain dengan skuad kebangsaan tetapi ini adalah masa untuk pemain-pemain muda tonjolkan potensi mereka dan kami akan bermain sebagai satu pasukan,” jelasnya.
Brendan dan rakan-rakan kini akan menumpukan perhatian terhadap proses pemulihan sebelum meletakkan fokus terhadap aksi Liga Super di laman sendiri menentang Negeri Sembilan FC pada Selasa.