KELAB Penyokong Arsenal Malaysia bakal merealisasikan impian peminat-peminat setianya dengan menganjurkan lawatan eksklusif ke Stadium Emirates, London, dari 12 hingga 18 Januari 2025.
Lawatan ini memberi peluang kepada 30 ahli kelab yang terpilih untuk menyaksikan perlawanan secara langsung, termasuk aksi panas Arsenal menentang Tottenham Hotspur dan perlawanan FA Cup antara Arsenal dan Manchester United.
Presiden Arsenal Malaysia, Azman Shah Mohidin memberitahu bahawa lawatan ini diadakan khas untuk ahli-ahli yang terawal menempah slot mereka sebagai satu inisiatif untuk mendekatkan mereka dengan pasukan kesayangan itu.
“Trip begini sebenarnya Arsenal Malaysia memang rancang setiap musim, tetapi kali ini ia lebih istimewa kerana memberi peluang kepada ahli kami merasai pengalaman luar biasa menonton perlawanan di stadium dan bertemu pemain Arsenal.
“Ini juga adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menyatukan komuniti penyokong Arsenal di Malaysia,” kata Azman kepada Flash Sukan.

The Gunners di Malaysia
Dengan anggaran kos RM8,000 seorang, peserta bukan sahaja dapat menyaksikan perlawanan secara langsung tetapi juga menikmati pengalaman istimewa apabila dapat bertemu pemain Arsenal.
“Selain menonton perlawanan, peserta nanti juga akan dibawa ke bilik khas untuk sesi ramah mesra dengan seorang pemain Arsenal sebelum perlawanan bermula.
“Kami juga akan memastikan peserta dapat melihat pemain turun dari bas sebelum memasuki stadium dan ini adalah satu pengalaman VIP yang kami sediakan untuk ahli-ahli kami.
“Cuma kita belum dapat kepastian siapa pemain itu kerana ia bergantung kepada keadaan pada hari tersebut dan pemain akan diumumkan dalam masa terdekat nanti,” kata Azman lagi.
Dalam temubual itu, Azman turut mengulas prestasi Arsenal musim ini, yang menurutnya ada sedikit turun naik.
“Berbanding musim lalu, prestasi musim ini kurang stabil. Walaupun begitu, Arsenal masih tidak jauh daripada pendahulu liga (Liverpool).
“Ini menunjukkan masih ada harapan dan sebagai penyokong setia, sudah tentu saya mahu melihat Arsenal muncul juara musim ini,” jelasnya.

Azman juga berkata, cabaran utama pasukan ialah kecederaan yang menjejaskan konsistensi skuad utama, terutamanya dalam barisan pertahanan. Namun, dia optimis dengan separuh musim yang akan datang.
“Liverpool sangat kuat musim ini, tetapi saya yakin selepas Januari akan ada perubahan positif yang dapat melonjakkan prestasi Arsenal,” tambahnya.
Ketika ditanya pemain yang paling menyerlah musim ini, Azman memilih tidak lain dan tidak bukan seorang pemain yang menyinar di Arsenal, Bukayo Saka.
“Saka adalah pemain terbaik setakat ini, tetapi kecederaannya sekarang memberi cabaran untuk pasukan dan pemain lain perlu mengisi kekosongan tersebut serta mengekalkan momentumnya itu” jelasnya.
Sebagai tambahan, Azman menyuarakan harapannya untuk musim ini dengan berharap pasukan kesayangannya itu dapat meraih sebarang trofi pada musim ini.
“Saya harap Arsenal dapat membawa pulang beberapa trofi kerana Arteta (jurulatih Arsenal) telah melakukan kerja yang baik, dan usaha keras ini perlu diterjemahkan dengan kejayaan,” jelasnya lagi.
Lawatan ini bukan sahaja menjadi peluang keemasan untuk ahli kelab penyokong Arsenal Malaysia menyaksikan pasukan kesayangan mereka, tetapi juga mengukugkan ikatan antara komuniti penyokong The Gunners di Malaysia ini.